Sunday, May 11, 2025
26.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Guna teknologi intip pesakit

    ISLAMABAD, 27 MEI – Perisikan Pakistan melancarkan teknologi intipan yang kebiasaannya digunakan untuk mengenal pasti lokasi militan, bagi mengesan pesakit COVID-19 dan kontak rapat mereka.

    Menerusi program yang dimaklumkan kepada umum oleh Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan, kerajaan negara itu menggunakan agensi Perkhidmatan Perisikan Dalaman (ISI) untuk membantu mengekang penularan virus berkenaan, yang masih merebak dengan pantas di Pakistan.

    Maklumat terperinci mengenai projek itu tidak dinyatakan, namun dua pegawai kerajaan memaklumkan AFP bahawa perkhidmatan perisikan menggunakan teknologi geobatas dan sistem pemantauan telefon, yang biasanya digunakan untuk memburu sasaran penting, termasuk militan dalaman dan asing.

    Kurang kesedaran, stigma dan ketakutan menyebabkan sejumlah individu bergejala tidak cuba mendapatkan rawatan atau melarikan diri dari hospital, manakala individu yang menjadi kontak rapat pesakit pula tidak patuh peraturan kuarantin kendiri.

    Seorang pegawai keselamatan kanan yang enggan namanya didedahkan memberitahu AFP bahawa beberapa agensi kini menggunakan teknologi itu dengan berkesan untuk mengesan kes COVID-19.

    Pengimbas suhu badan yang digunakan di salah sebuah kompleks membeli-belah di Islamabad. – AFP
    Gambar fail pada 18 Mei 2020 menunjukkan petugas kompleks pusat membeli-belah di Islamabad meletakkan tanda pengimbas di lantai kompleks berkenaan. – AFP

    “Kerajaan berjaya membuat pengesanan, termasuk mereka yang positif tetapi menyembunyikan diri,” katanya.

    Teknologi geobatas, sistem pengesanan tersembunyi yang memaklumkan pihak berkuasa jika individu meninggalkan kawasan tertentu, membantu pihak berkuasa memantau kawasan yang dikenakan perintah berkurung.

    Pihak berkuasa juga mendengar panggilan yang dibuat oleh pesakit COVID-19 bagi memantau sama ada kontak pesakit itu memaklumkan bahawa mereka bergejala.

    “Sistem ini membantu untuk mengesan telefon bimbit milik pesakit COVID-19 dan sesiapa yang menghubungi atau dihubungi mereka,” kata seorang pegawai perisikan.

    Imran Khan baru-baru ini memuji program berkenaan, yang hanya ditentang sekumpulan kecil masyarakat mengenai penggunaannya untuk mengekang penularan virus itu.

    Ketika ini, hampir 60,000 warga Pakistan dikesan positif COVID-19 dan lebih 1,200 pesakit sudah meninggal dunia. Namun, dengan jumlah ujian saringan yang terhad, pihak berkuasa bimbang jumlah sebenar adalah lebih tinggi. – AFP

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda