Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Guna teknologi tangani isu banjir

    Oleh Nurdiyanah R. –

    Demi menangani cabaran berkaitan banjir yang dihadapi di kawasan bandar dan kampung di Negara Brunei Darussalam termasuklah kualiti air terjejas dan ancaman kelestarian telah menjadi pencetus kejayaan salah seorang penyelidik anak tempatan ini sehingga membawanya merangkul juara dalam Kategori Penyelidikan dan Perkembangan semasa Majlis Anugerah ICT Brunei (BICTA) 2024, baru-baru ini.

    Dengan memperkasa sebuah projek bertajuk Empowering Rural and Urban Resilience: Holistic FloodTech, Dayang Siti Rasyidah binti Haji Ismail terlebih dahulu mengongsikan bahawa projek berkenaan pada mulanya bermula sebagai projek individu bersama ayah beliau yang sentiasa bersemangat untuk membantu masyarakat dan menyumbang secara positif kepada negara dan sokongan daripada pihak-pihak berkuasa yang terlibat khususnya berkaitan dengan bencana banjir di Negara Brunei Darussalam.

    Insan bersemangat tinggi ini semasa berkesempatan ditemui Media Permata di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, sejurus selesai majlis penganugerahan berkenaan, menjelaskan lanjut bahawa menerusi projek ini, ia telah memanfaatkan kemudahan dan ketersediaan teknologi terkini sebagai amaran awal bagi kenaikan paras air di sungai dan amaran sekunder di jalan raya, melalui sistem pemantauan, kemudahan SMS dan bunyi siren.

    “Sistem pemantauan ini ditempatkan di Sungai Tutong iaitu penempatan sumber air mentah bagi pemantauan awal kualiti air dan di kawasan-kawasan yang terdedah kepada banjir. Pada ketika ini, sistem pemantauan ditempatkan di enam lokasi di Daerah Tutong dan akan ditempatkan di lebih banyak lokasi di daerah-daerah lain,” kongsinya yang juga selaku pemilik Pararoutte Company.

    Menyentuh mengenai kepentingan projek ini, Dayang Siti Rasyidah berkata pelaksanaannya pastinya untuk mengutamakan keselamatan dan nyawa komuniti yang terlibat dengan risiko-risiko bencana banjir di seluruh Negara Brunei Darussalam.

    Dayang Siti Rasyidah semasa ditemui Media Permata di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, baru-baru ini. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Gambar fail menunjukkan banjir yang berlaku di Daerah Tutong pada September 2023. Bencana banjir yang sering berlaku di Daerah Tutong menjadi projek Dayang Siti Rasyidah untuk melaksanakan sistem pemantauannya. – GAMBAR FAIL
    Guru-guru Sekolah Menengah St Michael, Penampang bergotong-royong membersihkan halaman sekolah yang disaluti lumpur berikutan banjir besar melanda sekolah itu baru-baru ini. Menurut Dayang Siti Rasyidah, melalui pengesanan awal, insiden dan impak banjir dapat dikurangkan. – Bernama

    Projek ini juga secara tidak langsung bertujuan untuk mengurangkan kos kerosakan harta benda akibat bencana banjir.

    “Dengan langkah sistem pemantauan ini, ia bukan sahaja dapat mengurangkan insiden dan impak banjir tetapi juga meningkatkan kualiti air melalui pengesanan awal untuk mengelak gangguan air,” tekannya.

    HALA TUJU PELAKSANAAN PROJEK

    Dalam pada itu, Dayang Siti Rasyidah turut menaruh harapan agar pelaksanaan projek ini akan dapat melangkah lebih jauh dengan adanya banyak pengembangan dari segi cirinya, tambahan penderia dan pemantauan lebih banyak lokasi.

    “Dalam jangka masa panjang, kami berharap pihak berkuasa dan penduduk berkaitan yang terjejas teruk akibat banjir di Negara Brunei Darussalam akan mendapat manfaat yang besar dengan kemudahan amaran awal untuk pemindahan harta benda apabila terjadinya banjir dengan lebih berkesan dan mudah,” ujarnya.

    Pada kesempatan ini, Dayang Siti Rasyidah turut meluahkan rasa kesyukuran sebagai salah seorang penyelidik yang telah membuat kajian tentang banjir dan bencana alam di Negara Brunei Darussalam dalam jangka masa yang sangat panjang dan teliti.

    Pastinya ia bukan satu hal yang sia-sia bahkan semua ini bagi kepentingan bersama khusus dalam menyelamatkan nyawa, mengurangkan jumlah mangsa banjir dan kos untuk membaiki kerosakan akibat banjir bukan hanya pada jangka masa pendek bahkan pada jangka masa panjang.

    Beliau juga berkata dirinya dengan kerendahan hati bersama para peserta yang lain amat berbangga kerana projek-projek yang diketengahkan telah diiktiraf dalam pertandingan berprestij seperti BICTA 2024 ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda