Wednesday, July 16, 2025
28.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Guna tikus bantu kesan periuk api

    SIEM REAP, 16 JULAI – Sekumpulan haiwan yang tidak begitu kecil sangat diperlukan dalam membantu pakar mengesan periuk api darat di Kemboja.

    Tikus gergasi Afrika yang boleh membesar sehingga 45 sentimeter dan berat sehingga 1.5 kilogram berada di barisan hadapan, bergerak lincah melintasi padang untuk memberi isyarat kepada pengendali setelah mengesan bau TNT, bahan yang digunakan dalam kebanyakan periuk api dan senjata letupan.

    “Semasa bekerja dengan tikus-tikus ini, saya sering menemui periuk api dan mereka tidak pernah terlepas walau satu pun,” kata Mott Sreymom, seorang pengendali tikus di APOPO, sebuah kumpulan kemanusiaan yang melatih dan mengerahkan pasukan pengesan tikus di seluruh dunia.

    “Saya sangat mempercayai tikus pengesan periuk api ini,” kata Mott kepada AP semasa rehat tengah hari sewaktu bekerja menjejak periuk api di wilayah Siem Reap.

    Selepas tiga dekad konflik pada abad sebelumnya, sisa-sisa perang bersepah kira-kira 4,500 kilometer persegi di tanah Kemboja, menurut tinjauan oleh Pihak Berkuasa Tindakan Galian dan Bantuan Mangsa Kemboja (CMAA) pada tahun 2004. Ini menjejaskan semua 25 wilayah Kemboja dan hampir separuh negara dengan penduduk sekitar 14, 000 tersebut.

    Sehingga 2018, CMAA melaporkan 1,970 kilometer persegi masih tidak diperiksa.

    Tikus mempunyai deria bau yang tajam, menjadikannya kegemaran di APOPO, yang juga menggunakan kumpulan anjing sebagai pengesan periuk api darat.

    “Anjing dan tikus lebih baik berbanding haiwan lain kerana ia boleh dilatih,” kata Alberto Zacarias, penyelia lapangan pasukan anjing tinjauan teknikal APOPO, sambil menambah bahawa haiwan-haiwan ini juga mesra dan mudah patuh arahan.

    “Kami bekerja dengan tikus-tikus ini hampir setiap hari, jadi kami semakin rapat,” kata Mott. “Tikus-tikus ini sangat mesra dan tidak selalu berkeliaran dan juga tidak takut. Tikus-tikus ini seperti keluarga kami,” tambah Alberto.

    Sejak operasi menjejak dimulakan di Kemboja pada 1992, lebih daripada 1.1 juta periuk api telah ditemui serta kira-kira 2.9 juta sisa-sisa letupan perang, menurut laporan kemajuan ranjau ranjau kerajaan 2022. – AP

    Salah satu daripada tikus-tikus yang digunakan dalam operasi di Siem Reap, Cambodia. Gambar fail AP
    Mott Sreymom, 34, seorang petugas bersama tikusnya di Siem Reap, Kemboja. – Gambar fail AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda