Saturday, November 16, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gunakan elektrik secara berhemah

    KUALA LUMPUR, 1 MEI – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyarankan kepada semua pengguna untuk mengamalkan penggunaan elektrik secara berhemah dalam situasi negara berhadapan peningkatan suhu panas dan jerebu susulan cuaca kering ketika ini.

    TNB dalam kenyataan hari ini memaklumkan penggunaan elektrik mungkin meningkat akibat cuaca panas selain perayaan Aidilfitri.

    Oleh itu, TNB berkongsi amalan penjimatan elektrik yang mudah dilakukan di kediaman, umpamanya pengguna digalakkan mematikan penyaman udara, kipas dan lampu di dalam bilik yang kosong; tutup suis peralatan elektrik seperti komputer selepas selesai menggunakannya.

    “Ketika cuaca panas terik, tutupkan tingkap dengan langsir yang tebal supaya haba tidak masuk; tidak meninggalkan barangan elektrik di dalam mod sedia; gunakan lampu mentol LED yang tahan lebih lama serta lebih jimat tenaga; gosok pakaian dalam jumlah yang banyak pada suatu masa dan memilih alat elektrik berlabel cekap tenaga 4 atau 5 bintang oleh Suruhanjaya Tenaga,” menurut kenyataan itu.

    TNB juga menasihatkan pengguna untuk menghidupkan kipas di bilik tidur pada waktu malam bagi membantu pengedaran udara selain menetapkan masa untuk pendingin hawa dimatikan serta kerap menyenggara pendingin hawa supaya ia beroperasi pada tahap optimum.

    “Di dapur, elakkan meletak peti sejuk di tempat yang terdedah kepada pancaran terus cahaya matahari atau berhampiran dengan dapur memasak; susun barang-barang di dalam peti sejuk dengan sekurang-kurangnya dua pertiga kapasiti ruangan peti sejuk untuk membiarkan ruang pengedaran udara sejuk.

    “Gunakan ketuhar gelombang mikro yang menggunakan tenaga yang rendah kerana ia boleh menjimatkan tenaga elektrik sebanyak 10 hingga 25 peratus dan tekan suis pemanas air hanya apabila ingin digunakan dan tutup sejurus selesai,” menurut kenyataan itu.

    TNB turut menyarankan kepada pengguna yang membasuh pakaian menggunakan mesin basuh supaya membasuh dengan muatan penuh serta menjemur pakaian dengan sinaran matahari berbanding menggunakan mesin pengering.

    Bagi bilik air, elakkan suis alat pemanas air terbuka tanpa digunakan, malah mandi air sejuk tanpa menggunakan pemanas air akan membuatkan badan akan terasa lebih segar. – Bernama

    Kanak-kanak melegakan diri daripada cuaca panas dengan mandi-manda di taman tema di ibu negara semasa tinjauan cuti Hari Pekerja. TNB menasihatkan orang ramai menggunakan elektrik secara berhemah dalam keadaan cuaca yang panas dan berjerebu. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda