Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gunakan teknologi digital perundangan sebijaknya

    Oleh Ak Zaki Kasharan –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 SEPT – Seorang peguam persendirian boleh menggunakan kecerdasan buatan (AI) sebagai alat untuk membantu kerja mereka termasuklah dalam merangka kontrak untuk anak guam mereka.

    Walau bagaimanapun, tidak bergantung pada keseluruhannya, ia memerlukan pertimbangan muktamad manusia sebelum memutuskan bahawa nasihat yang dijana oleh komputer adalah sesuai.

    Penggunaan teknologi digital dalam perundangan haruslah digunakan atau diaplikasikan dengan sebijaknya serta mengikut kesesuaian tempat dan juga situasi.

    Perkara itu ditekankan oleh Master of the Rolls, United Kingdom (UK), Sir Geoffrey Vos semasa sesi perjumpaan bersama para pengamal media tempatan di Pejabat Suruhanjaya Tinggi British di Tingkat 2, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) di ibu negara, hari ini.

    Semasa sesi itu, beliau turut mengongsikan beberapa situasi terdahulu yang memerlukan teknologi digital dalam menyelesaikan kes-kes tertentu sebelumnya termasuklah semasa penularan COVID-19.

    Menyertai Sir Geoffrey Vos pada sesi berkenaan ialah Pemangku Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam, Catherine Pochkhanavala-Cleeve.

    Terdahulu semasa lawatannya ke negara ini yang bermula pada 17 September lalu, Sir Geoffrey telah berpeluang mengadakan beberapa pertemuan dengan Peguam Negara, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Ahmad bin Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Diraja Dato Laila Utama Haji Awang Isa dan Ketua Hakim Negara, Dato Seri Paduka Steven Chong untuk membincangkan isu dan bertukar-tukar fikiran dalam bidang undang-undang dan keadilan.

    Sir Geoffrey Vos dan isteri berada di negara ini bagi lawatan kerja selama lima hari yang akan berakhir pada 22 September.

    Sir Geoffrey Vos (kanan) dan Catherine Pochkhanavala-Cleeve (kiri) semasa sesi perjumpaan bersama para pengamal media tempatan di Pejabat Suruhanjaya Tinggi British kelmarin. – Gambar oleh Rafi Rosli
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda