Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JUN – Dalam era globalisasi dan dunia tanpa sempadan, tidak di-nafikan penyebaran maklumat amat mudah.
Oleh itu, adalah penting bagi semua rakyat untuk memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing dengan menggunakan kemudahan teknologi secara berhemah serta menjadikan sebagai saluran untuk mengukuhkan perpaduan dan merapatkan silaturahim dalam kalangan masyarakat.
Saranan itu dibuat oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman dalam ucapannya pada Majlis Penyampaian Sijil Taraf Kerakyatan ke-42 yang berlangsung di Dewan Persidangan BRIDEX, Jerudong, hari ini.
Berkaitan dengan perpaduan ini, Yang Berhormat Dato mengimbau kembali titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Awal Tahun Masihi 2025 yang mana Baginda Sultan telah menekankan mengenai kepentingan perpaduan yang merupakan kunci pembangunan di mana setiap lapisan masyarakat jika kekal bersatu, hidup harmoni, saling hormat-menghormati dan bekerjasama, maka segala cabaran akan dapat ditangani dengan baik.
“Dengan adanya keteguhan perpaduan masyarakat dan juga dengan penghayatan nilai dan identiti kebangsaan yang berteraskan prinsip Melayu Islam Beraja (MIB) setentunya akan menjadi benteng kukuh dalam menangkis pengaruh negatif yang tidak selari dengan cara hidup kita dan perkara ini akan menjadi asas kepada kemajuan, keamanan dan kemakmuran Brunei.”


Yang Berhormat Dato menyatakan peng-anugerahan sijil taraf kerakyatan itu bukan sekadar formaliti penyerahan dokumen rasmi semata-mata, malah ia sebagai penegasan tentang nilai kesetiaan, semangat kebangsaan dan kesediaan mereka semua untuk menyumbang secara aktif dalam membentuk masa depan negara.
“Kita sebagai warganegara Brunei Darussalam memainkan peranan penting dan memikul amanah besar dalam sama-sama menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negara, mematuhi undang-undang dan memperkukuh keharmonian serta memelihara perpaduan.”
Yang Berhormat Dato yakin walau sekecil mana pun sumbangan mereka, ia tetap memberi impak yang besar dalam merealisasikan apa jua yang dihasratkan.

