Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gunakan tutur kata yang baik ketika memberi nasihat

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OGOS – Nasihat adalah satu bentuk kasih sayang yang paling bernilai, memberi dan menerima nasihat adalah amalan yang dianjurkan dalam Islam dan dalam kehidupan bermasyarakat.

    “Nasihat itu mempunyai peranan yang penting dalam kehidupan, bukan hanya dalam hubungan sesama manusia tetapi juga dalam bentuk akhlak yang baik dan mulia”.

    Perkara ini ditegaskan oleh khatib semasa menyampaikan khutbah Jumaat bertajuk ‘Nasihat sebagai tanda kasih sayang’, dan seterusnya mengingatkan nasihat yang baik datang dari keprihatinan seseorang terhadap kesejahteraan orang lain, ia bertujuan untuk membimbing, mengingatkan dan membawa kebaikan dalam kehidupan.

    Khatib seterusnya menjelaskan, antara peranan nasihat itu ialah membantu dalam membuat keputusan yang betul di mana nasihat bukan sahaja dapat membantu seseorang membuat keputusan yang bijak dan mengelakkan dari kesilapan yang mungkin membawa kesan buruk dalam kehidupan.

    Katanya lagi, “mengukuhkan hubungan kekeluargaan dan persahabatan dari aspek pemedulian dan kasih sayang, membantu seseorang menyedari kesalahan dan kesilapan, ini kerana kadang kala seseorang tidak menyedari kesilapan yang dilakukan dan dengan menerima nasihat boleh memperbaiki diri dan menjadi insan yang lebih baik”.

    Membentuk masyarakat yang prihatin jika budaya nasihat menasihati diamalkan dalam masyarakat dengan cara yang baik, jelas Khatib, masyarakat akan menjadi lebih harmoni dan penuh kasih sayang.

    Walaupun nasihat itu dapat memberikan manfaat ke arah kebaikan, namun adab dan akhlak dalam menyampaikan nasihat mestilah sentiasa dijaga.

    Ini kerana, tegas khatib, tanpa adab dan tatacara yang betul, ia bukan sahaja boleh menimbulkan salah faham, malah boleh menimbulkan kemarahan hingga terjadi permusuhan dan persengketaan.

    Khatib dalam khutbah turut mengongsikan, antara kaedah dan adab yang perlu diberi perhatian dalam menyampaikan nasihat antaranya gunakan tutur kata yang lemah lembut dan berhemah, beri nasihat pada waktu yang sesuai, beri nasihat dengan kasih sayang, dan elakkan daripada menegur kesalahan seseorang di khalayak ramai.

    Perubahan gaya hidup masyarakat dikuasai oleh penggunaan media sosial telah menyediakan ruang interaksi dan komunikasi tanpa batas yang kadangkala membuatkan kita lalai dan terleka tentang adab dan akhlak dalam menyampaikan nasihat.

    Dalam hal ini, tegas khatib, kita perlu bersikap bijak dengan memastikan ayat atau perkataan yang hendak digunakan adalah bersesuaian.

    “Ini kerana media sosial adalah tempat umum dan terbuka yang boleh menimbulkan pelbagai andaian dan pandangan sama ada yang positif mahupun negatif,” tegasnya.

    Sehubungan itu, Khatib menyeru untuk muhasabah diri agar mengembalikan semula tujuan sebenar sesuatu nasihat itu dilakukan agar memberikan manfaat kepada orang lain dan bukan mengundang kemudaratan yang menyemarakkan api perbalahan dan permusuhan dalam kehidupan bermasyarakat, ini kerana permusuhan itu adalah perbuatan yang dibenci dan ditegah dalam agama Islam.

    Nasihat adalah tanda kasih sayang yang membantu seseorang menjadi insan yang lebih baik, dan dalam memberi nasihat perlu menggunakan cara yang berhemah dan penuh kelembutan agar ia diterima dengan baik.

    “Ini sama juga dalam memberi nasihat, seseorang itu harus bersikap terbuka, rasional dan bersedia untuk memperbaiki diri sendiri, “jelasnya.

    Gambar fail
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda