Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gundogan sertai Galatasaray secara percuma

    ISTANBUL, 3 SEPT – Pemain tengah Jerman, Ilkay Gundogan menandatangani kontrak bersama Galatasaray dari Manchester City secara perpindahan percuma, umum kedua-dua pasukan, kelmarin.

    Pemain berusia 34 tahun itu bersetuju dengan kontrak hingga akhir musim 2026-27 bersama kelab juara Turkiye itu.

    “Manchester City akan sentiasa berada di tempat istimewa dalam hati saya,” kata Gundogan, yang membuat 358 penampilan dalam dua tempoh bersama City, menjaringkan 65 gol.

    “Kami menikmati begitu banyak kejayaan sepanjang masa bersama dan terdapat begitu banyak detik yang tidak dapat dilupakan, terutama ketika menjadi kapten bagi musim Treble.

    “Memenangi trofi Liga Perdana dan Piala FA amat bermakna buat saya, tetapi diberi peluang menjulang trofi Liga Juara-Juara untuk kali pertama dalam sejarah kelab ini, khususnya di Istanbul akan kekal dalam ingatan saya selama-lamanya.

    Gundogan semasa perlawanan suku akhir UEFA Euro 2024 antara Sepanyol dan Jerman di Arena Stuttgart pada 5 Julai 2024. – AFP

    “Saya tidak ragu-ragu City akan terus menikmati banyak lagi kejayaan pada masa depan dan saya pasti akan mengikuti dari jauh ketika meneruskan karier saya di Turkiye, negara yang amat dekat di hati saya.”

    Gundogan, yang dilahirkan di Jerman daripada ibu bapa berketurunan Turkiye, merupakan pembelian pertama Pep Guardiola bersama City pada 2016 dan menghabiskan tujuh tahun di sana sebelum menyertai Barcelona secara percuma pada 2023.

    Dia kembali menyertai City pada Ogos 2024 dan membuat 33 penampilan EPL musim lalu ketika pasukan Guardiola menamatkan musim di tangga ketiga.

    Gundogan memenangi EPL sebanyak lima kali di City serta Liga Juara-Juara pada musim 2022-23.

    Sebelum itu, dia pernah beraksi untuk Bochum, Nuremberg dan Borussia Dortmund.

    Gundogan memenangi gelaran Bundesliga bersama Dortmund pada 2012. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda