LONDON, 16 April – Arsenal melonjak ke empat kedudukan teratas Liga Perdana setelah meraih kemenangan 1-0 ke atas Watford, yang bermain 10 orang, terima kasih kepada gol awal Pierre-Emerick Aubameyang.
Aubameyang memanfaatkan kesilapan penjaga gol Watford, Ben Foster, yang menyaksikan tendangan keluarnya berjaya ditampan oleh Aubameyang dan masuk ke gawang.
Kapten Watford, Troy Deeney kemudian dilayangkan kad merah hanya selepas 11 minit perlawanan, tetapi Gunners gagal memanfaatkan sepenuhnya kelebihan mereka dan bernasib baik kerana dua percubaan pasukan tuan rumah terkena gawang.
Bagaimanapun, Skuad Unai Emery bertahan bagi aksi tanpa bolos pertama di gelanggang lawan dalam Liga Perdana musim ini, sekali gus memintas Chelsea ke kedudukan keempat menerusi perbezaan gol.
“Kami tidak mengawal perlawanan seperti yang saya mahukan,” akui Emery.
“Pasukan agak gemuruh kerana mereka boleh sahaja menyudahkan beberapa percubaan. Perkara yang penting bagi kami adalah menjaringkan gol kedua, yang kami gagal melakukannya.”
Arsenal juga menghampiri pesaing London utara mereka, Tottenham Hotspur dan dua mata di atas Manchester United dalam persaingan empat penjuru bagi dua slot terakhir Liga Juara-Juara di belakang Liverpool dan Manchester City.
Mengenai kesilapannya, Foster membuat kenyataan maaf kerana melengah-lengahkan sepakan sehingga menyebabkan gol Aubameyang.
“Saya sudah meminta maaf kepada rakan sepasukan,” kata Foster. “Saya cuba mengalihkannya ke kaki kiri dan membuat sepakan tanpa saya sedari dia (Aubameyang) pantas menghampiri.”
Dan dalam beberapa saat selepas itu, Deeney dihukum yang menurut pengadil sebagai insiden menyiku Lucas Torreira. – AFP