YAN, 30 DIS – Pelajar sekolah rendah dan menengah di kawasan Parlimen Jerai berpeluang mendapatkan perkhidmatan gunting rambut secara percuma menerusi Program Gunting Rambut Percuma Parlimen Jerai yang diadakan hari ini dan esok.
Program anjuran Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia Bahagian Jerai itu bertujuan membantu pelajar dan ibu bapa menjelang sesi persekolahan yang akan bermula dua hari lagi.
Ketua Armada Bahagian Jerai, Mohd Safuan Sabari berkata program anjuran bersama Komuniti Amal Jerai (KOMAL) itu terbuka kepada semua pelajar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun, DUN Sungai Limau dan DUN Guar Chempedak di kawasan Parlimen itu.
“Kita anggarkan lebih 300 pelajar akan mendapat manfaat dan mereka boleh mendapatkan perkhidmatan memotong rambut di tiga premis di Pekan Teroi, Gurun dan Kampung Kuala Dulang Kechil pada hari ini dan esok.
“Ini program kedua kita buat selepas tahun lalu dan mendapat sambutan menggalakkan apabila sejak awal pagi mereka dan mula hadir dan sabar menunggu giliran masing-masing,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini
Selain program tersebut, Mohd Safuan berkata pihaknya turut menyumbangkan set pakaian sekolah kepada 85 pelajar daripada keluarga yang kurang berkemampuan di kawasan Parlimen itu menerusi program ziarah yang diadakan semalam. – Bernama
