Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gunung Agung bergegar 700 kali

    LELAKI itu tekun memerhatikan kepulan asap yang menjulang tinggi di puncak Gunung Agung itu. Riak wajahnya membayangkan dia sedikit resah.

    “Gunung Agung merupakan tempat suci kami. Apa yang berlaku sekarang merupakan mesej tuhan kepada penduduk di sini,” kata Putera Tjokorda Raka Putra, 54, penuh tersirat.

    Kali terakhir dia melihat kejadian seumpama itu kira-kira 54 tahun lalu. Ketika itu, dia dan penduduk Bali, Indonesia melihat mesej sama sebelum gunung suci itu memuntahkan asap, lahar dan debu tebal beberapa hari kemudian.

    “Ia seperti letupan bom atom. Asap daripada letusan gunung berapi menjulang tinggi ke langit dan menyebabkan keseluruhan pulau menjadi gelap-gelita.

    “Setiap hari terdapat hujan debu. Batu-batu dari perut bumi pula berterbangan dan berselerakan di sekitar pulau ini,” katanya yang tinggal di daerah Klungkung, kira-kira 35 kilometer dari gunung tersebut.

    Penduduk Bali turut melakukan acara ritual kerana Gunung Agung dianggap sebagai tempat suci mereka.
    Segelintir penduduk Bali masih menjalankan rutin harian, namun tetap berwaspada kemungkinan Gunung Agung akan meletus.

    Mempunyai ketinggian kira-kira 3,142 meter, Gunung Agung dikesan mengeluarkan asap setinggi 200 meter pada 21 September lalu.

    Kejadian itu berlaku selepas gempa bumi berskala 7.1 Richter yang melanda Mexico City, Mexico pada 19 September lalu.

    Gempa bumi yang mengejutkan itu menyebabkan sekurang-kurangnya 230 penduduk maut manakala ribuan lagi cedera akibat terperangkap atau terkena runtuhan bangunan.

    Indonesia yang berada di dalam lingkungan Lingkaran Api Pasifik tidak terkecuali menerima tempiasnya sehingga menyebabkan Gunung Agung yang terletak di timur laut Bali, kembali aktif sejak 21 September lalu.

    Kali terakhir gunung itu meletus ialah pada tahun 1963. Ia disifatkan antara letusan gunung api terbesar dalam sejarah Indonesia yang menyebabkan lebih 1,500 penduduk terbunuh manakala ribuan lagi cedera atau kehilangan tempat tinggal.

    Sejak dua minggu lalu, sebanyak 700 kejadian gegaran dan gempa bumi dicatatkan di negara itu termasuk magnitud paling kuat berskala 4.3 Richter.

    Kerap

    “Ia merupakan satu angka yang agak tinggi, jika aktiviti itu berterusan ia akan meningkatkan risiko letusan tersebut. Mungkin beberapa jam atau hari sahaja lagi sebelum ia meletus, tiada siapa yang mengetahuinya,” kata kakitangan kanan Pusat Bencana Valkunologi dan Geologi Indonesia, Dr. Devy Kamil Syahbana.

    Selain kekerapan gegaran dan gempa bumi, beliau dan pasukannya turut mengesan beberapa aktiviti gunung berapi di atas gunung tersebut sejak minggu lalu.

    Antaranya, perubahan pada permukaan kawah serta peningkatan titik panas yang mengeluarkan asap putih ke udara akibat pengewapan.

    Katanya, secara statistiknya, peratusan kemungkinan letusan gunung berapi berlaku adalah sekitar 90 peratus.

    “Bagaimanapun, kita masih mempunyai 10 peratus harapan ia tidak akan meletus dan pastinya kita berharap ia menjadi kenyataan. Namun, kita mesti membuat persediaan awal terhadap sebarang kemungkinan.

    “Ini kerana tiada pakar gunung berapi di dunia ini yang mampu menjangkakan bila sesebuah gunung berapi itu akan meletus. Sebab itu, kita tidak boleh menunggu kerana jika ia meletus sudah terlambat untuk kita bertindak,” katanya.

    Berpindah

    Dianggarkan lebih 100,000 penduduk telah berpindah daripada zon bahaya yang terletak kira-kira 12 kilometer (km) dari kaki gunung tersebut. Keputusan itu dilakukan berdasarkan saiz letusan yang berlaku lebih setengah abad yang lalu.

    Seorang lelaki melihat Gunung Agung yang dijangka meletus pada bila-bila masa di sebuah kuil di Bali.

    Semasa letusan sebelum ini, sebanyak 280 juta meter kubik makma telah dimuntahkan dari Gunung Agung. Lava itu tersebar sehingga 14km ke utara dan 12km ke selatan dan juga ke selatan timur kepulauan itu.

    Sementara itu, situasi di beberapa lokasi pelancongan di sekitar pulau itu kini menjadi bandar hantu apabila penduduk dan pelancong mula berpindah ke lokasi selamat ekoran kemungkinan berlakunya letusan di Gunung Agung.

    Di Tulamben, sebuah perkampungan nelayan di timur laut Bali yang diisytihar sebagai zon bahaya kerana berada dalam lingkungan 12km dari gunung tersebut, semua hotel kini ditutup dan kelibat pelancong juga tidak lagi kelihatan sejak Jumaat lalu.

    “Pekan ini sudah kosong dan tidak berpenghuni,” kata Made Pasaka, seorang jurulatih skuba, sambil melihat puncak gunung tertinggi di Bali itu.

    “Kali terakhir gunung itu meletus, keadaan hanya kembali pulih selepas setahun dan kami tidak dapat membayangkannya. Sekiranya ia meletus sekali lagi, tidak tahu bagaimana nasib kami selepas ini,” ujarnya.

    Kira-kira 20 minit ke pantai Amed yang merupakan lokasi popular pelancong, sebanyak 180 buah hotel di situ telah kosong sejak minggu lalu.

    Ritual

    Ketika ini, penduduk di Amed bukan sahaja bimbang terhadap letusan gunung tersebut malah bimbang sekiranya pelancong tidak lagi kembali ke situ.

    “Bandar ini bergantung sepenuhnya kepada industri pelancongan malah terdapat ribuan penduduk yang bekerja dalam pelbagai sektor pelancongan di sini. Bagaimanapun, situasi ini menyebabkan mereka tidak dapat bekerja dan mencari pendapatan seperti lazimnya,” jelas Laight.

    Bagi Nyoman Kari yang mengusahakan perniagaan kafe di Amed, ketiadaan pelancong begitu dirasai peniaga di situ.

    “Semua pelancong asing telah meninggalkan Amed sejak letusan tersebut dua minggu lalu. Mereka pulang ke negara masing-masing.

    “Peniaga yang mengusahakan perniagaan hotel, kafe dan bot paling teruk terjejas. Sebelum kejadian ini, kami kafe kami sentiasa penuh dengan kehadiran pelancong, kini sudah hampir seminggu kafe ini tidak mempunyai pelanggan,” katanya.

    Ketika semua pihak menyuarakan kebimbangan terhadap apa yang berlaku, beberapa pemimpin agama Hindu di Bali nekad memanjat puncak gunung tersebut dan mengadakan ritual agama.

    Salah seorang daripadanya, Jero Mangku Ada yang merupakan seorang sami mendaki Gunung Agung selepas mendapat arahan Tuhan ketika menetap di pusat penempatan di Puri Boga. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda