BANDARAYA GUATEMALA, 10 JUN – Salah satu gunung berapi paling aktif di Amerika Tengah memuntahkan gas dan abu kelmarin, mendorong pihak berkuasa Guatemala memberi amaran kepada trafik udara dan pelancong supaya mengambil langkah berjaga-jaga.
Gunung berapi bernama Fuego terletak 35 kilometer dari ibu kota Guatemala menyaksikan ‘letupan lemah dan sederhana berlaku pada kadar empat hingga tujuh sejam’, menurut Institut Vulkanologi (Insivumeh) sambil menambah bahawa letupan itu menghasilkan gumpalan gas dan abu sehingga 4,800 meter dari aras paras laut.
Agensi kerajaan mengesyorkan lalu lintas udara pada ketinggian di bawah 5,000 meter untuk mengambil langkah berjaga-jaga dalam jarak 30 kilometer dari Fuego dan gunung berapi Santiaguito yang berdekatan.
Ia juga memaklumkan agensi pelancongan tentang bahaya membuat aktiviti seperti mendaki berhampiran Fuego dan gunung berapi lain. – AFP
