QUITO, 4 MAC – Sebuah gunung berapi di pulau yang tidak berpenghuni di Galapagos telah mula meletus, menerangi langit malam dengan lahar yang mengalir ke laut.
Gunung berapi La Cumbre di pulau Fernandina mula meletus Sabtu lalu sekitar tengah malam dalam apa yang dikatakan oleh pegawai Institut Geofizik Ecuador boleh menjadi letusan terbesar sejak 2017.
Gunung berapi setinggi 1,476 meter itu kali terakhir meletus pada 2020.
Imej yang dikongsi di media sosial yang diambil oleh pelawat ke Galapagos menunjukkan gunung berapi itu berlatar belakangkan langit merah.
Walaupun letusan itu tidak menimbulkan risiko kepada manusia, pulau itu adalah habitat kepada beberapa spesies, termasuk iguana, penguin dan burung kormoran yang tidak boleh terbang.
Pada 2019, saintis menemui seekor kura-kura gergasi yang tidak pernah dilihat sejak lebih satu abad dan dikhuatiri telah pupus di pulau itu.
Gunung berapi La Cumbre adalah salah satu yang paling aktif di rangkaian Pulau Galapagos, yang terkenal di seluruh dunia kerana membantu saintis British, Charles Darwin mengembangkan teori evolusi. – AP