MANILA, 8 APRIL – Gunung berapi Filipina di sebuah pulau meletus hari ini menghamburkan kepulan abu dan serpihan sepanjang 4 kilometer ke langit dan memaksa pihak berkuasa menutup sekolah di empat kampung akibat hujan abu, kata pegawai.
Tiada laporan kecederaan atau kerosakan akibat letusan terbaru Gunung Kanlaon yang terjadi awal pagi berlangsung lebih sejam.
Susulan itu abu bertaburan di sekurang-kurangnya empat perkampungan pertanian di barat daya gunung berapi di pulau Negros, kata Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina.
Kali terakhir Kanlaon meletus adalah pada Disember lalu menyebabkan beribu-ribu penduduk kampung dipindahkan.
Kebanyakan mereka masih di pusat perlindungan kecemasan hari ini ketika gunung berapi itu terus menunjukkan tanda-tanda akan meletus lagi, kata Pejabat Pertahanan Awam.
Ketua ahli gunung berapi Filipina, Teresito Bacolcol memberitahu AP, tiada tanda-tanda utama yang lain, seperti lonjakan gempa bumi yang akan menaikkan amaran.
“Kemungkinan letusan yang lebih besar sentiasa ada,” kata Bacolcol, menggesa orang ramai untuk terus berwaspada dan menjauhi zon bahaya 6 kilometer di sekitar Kanlaon.
Gunung berapi 2,435 meter tersebut adalah salah satu daripada 24 gunung berapi paling aktif di negara tersebut. Pada 1996, tiga pejalan kaki terbunuh berhampiran puncak dan beberapa yang lain kemudian berjaya diselamatkan apabila Kanlaon meletus tanpa amaran. – AP
