Wednesday, March 12, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gunung berapi Guatemala meletus, penduduk dipindahkan

    SAN JUAN ALOTENANGO, 11 MAC – Gunung berapi di Guatemala meletus awal pagi kelmarin, dan pihak berkuasa telah memindah hampir 300 keluarga sementara lebih 30,000 orang berisiko terjejas akibat letusan itu.

    Gunung berapi setinggi 3,763 meter itu merupakan antara yang paling aktif di Amerika Tengah dan kali terakhir meletus pada Jun 2023.

    Gunung berapi yang terletak 53 kilometer dari ibu kota Guatemala itu menghamburkan gas dan abu ke udara kelmarin, menyebabkan pihak berkuasa menutup sekolah berhampiran serta jalan utama yang menghubungkan beberapa kawasan.

    Setiausaha Agensi Bencana Guatemala, Claudinne Ugalde berkata pasukan penyelamat sedang berusaha untuk memindahkan lebih ramai penduduk. Ancaman terbesar letusan itu adalah aliran lava, campuran abu, batu, lumpur dan serpihan yang boleh menimbus seluruh kawasan penempatan. Dalam letusan tahun 2018, seramai 194 orang terkorban manakala 234 lagi dilaporkan hilang.

    Isaac Garcia, 43, penduduk El Porvenir yang terletak di lereng gunung, berkata dia segera berpindah bersama keluarganya apabila terkenang tragedi lima tahun lalu.

    Pihak berkuasa bencana negara itu melaporkan bahawa aliran bahan gunung berapi masih dalam kategori lemah hingga sederhana tetapi dijangka meningkat. – AP

    Gambar menunjukkan gunung berapi memuntahkan abu dari Palin, Guatemala pada 10 Mac. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda