JAKARTA, 29 NOV – Gunung Ili Lewotolok, Indonesia meletus hari ini, memuntahkan gumpalan asap dan debu setinggi empat kilometer ke udara, mencetuskan amaran penerbangan dan penutupan lapangan terbang tempatan.
Setakat ini belum ada laporan mengenai kecederaan atau kerosakan berikutan letusan terbabit di kawasan terpencil dekat kepulauan di Asia Tenggara itu.
Bagaimanapun, pihak berkuasa meningkatkan amaran waspada ke tahap kedua tertinggi susulan bahaya kemungkinan berlaku aliran lahar.
Larangan menghampiri sekitar kawasan kawah yang sebelum ini dihadkan kepada 2km turut diperluaskan sehingga 4km, sementara operasi penerbangan dinasihatkan untuk tidak melalui sekitar gunung berapi itu disebabkan abu panas menghujani lapangan terbang Wunopitu, Nusa Tenggara Timur, yang ketika ini ditutup.
“Orang ramai dinasihatkan tidak melakukan sebarang kegiatan dalam radius 4km dari kawah berkenaan,” kata agensi geologi Indonesia. – AFP
