HONOLULU, 5 MAC – Gunung berapi Kilauea di Hawaii memuntahkan lahar ke udara kelmarin, dengan pancutan dijangka menjadi semakin kerap sebagai sebahagian daripada letusan yang berterusan.
Letusan bermula pada 23 Disember lalu di kawah puncak Gunung Kilauea, salah satu gunung berapi paling aktif di dunia, yang terletak di Taman Negara Gunung Berapi Hawaii di Pulau Besar.
Kelmarin menandakan episod ke-12 letusan tersebut.
Bermula pada waktu pagi dengan aliran lava kecil sekali-sekala berubah menjadi pancutan lava yang berterusan pada sebelah petang, menurut Balai Cerap Gunung Berapi Hawaii.
Pancutan lava mencapai ketinggian 45 hingga 60 meter dan dijangka semakin kerap.
Sebuah kamera web menunjukkan pancutan lava merah terang yang sangat aktif.
Tiada kawasan kediaman yang terancam oleh letusan tersebut. Orang ramai telah datang berduyun-duyun ke lokasi di dalam taman untuk menyaksikan pertunjukan berapi itu. – AFP
