Wednesday, April 24, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Gunung berapi Kilauea meletus

    HONOLULU, 3 MEI – Gunung berapi Kilauea di Hawaii telah meletus dan memuntahkan aliran lahar selepas terhenti untuk tempoh seketika.

    Letusan terbaharu bermula pada September tetapi sehingga baru-baru ini telah berhenti dan bermula lagi setiap beberapa hari, lapor Honolulu Star-Advertiser semalam.

    Kini aktiviti letusan telah berakhir dan aliran lahar sekali lagi memenuhi kawah gunung berapi di Taman Negara Gunung Berapi Hawaii. Aliran telah mengalir tanpa henti selama lebih dua minggu.

    Ahli sains dengan Tinjauan Geologi AS berkata sementara aktiviti gunung berapi tidak dapat diramalkan, aktiviti terkini tidak menunjukkan tanda-tanda perlahan dan beberapa letusan bersejarah telah berlangsung selama beberapa dekad.

    “Ia mungkin meletus berterusan untuk tempoh masa lama,” kata Ken Hoo, saintis yang bertugas di Pihak Berkuasa Gunung Berapi Hawaii. “Untuk sekarang ia sedang memulakan alirannya di kawasan kemuncak.”

    Gambar serahan Tinjauan Geologi AS menunjukkan lahar meletus dalam kawah gunung berapi Kilauea di Taman Negara Gunung Berapi Hawaii di Big Island, Hawaii. – AP

    Sebuah tasik lava sedalam 300 kaki telah terbentuk di Kawah Halemaumau sejak bermulanya letusan terbaharu.

    Terdapat satu lagi letusan singkat di kawah yang bermula pada 2020 dan berlangsung selama beberapa bulan. Ia adalah yang pertama sejak letusan besar pada 2018 yang menyebabkan sebahagian gunung runtuh dan sejumlah besar lahar mengalir ke kawasan Big Island berdekatan.

    Kawah Halemaumau telah lama menjadi tempat berlakunya letusan besar-besaran. Letusan pada 2019 mengeringkan semua lava dari tasik gunung yang telah aktif bertahun-tahun lamanya.

    “Ia adalah masa menyeronokkan untuk pemerhati gunung berapi,” kata Ken Rubin, profesor sains bumi di Universiti Hawaii.

    Untuk mengelak kesesakan beliau mencadangkan pengunjung melawat pada lewat malam atau awal pagi apabila cahaya tasik lava boleh dilihat dari jauh dan kurang orang berada di taman itu. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...