Wednesday, July 3, 2024
23 C
Brunei

    -

    Gunung berapi Lewotobi Laki-Laki meletus dua kali dalam sehari

    JAKARTA, 30 JUN – Gunung Lewotobi Laki-Laki di Indonesia Timur meletus dua kali kelmarin menghantar awan yang tebal dan gelap ke udara, menurut pihak berkuasa vulkanologi.

    Letusan pertama berlaku pada jam 11:04 pagi waktu tempatan dan berlarutan hampir 11 minit, menurut kenyataan daripada agensi vulkanologi Indonesia.

    Letusan kedua berlaku pada 2:41 petang dan berlangsung lebih daripada 10 minit, memuntahkan bahan gunung berapi 900 meter di atas kawahnya.

    “Penduduk dan pelawat di sekitar Gunung Lewotobi Laki-Laki dilarang melakukan sebarang aktiviti dalam lingkungan tiga kilometer dari pusat letusan,” kata agensi itu.

    Gunung yang terletak di destinasi pelancongan popular pulau Flores itu mengalami beberapa letusan besar pada Januari lalu, mendorong pihak berkuasa meningkatkan status berjaga-jaga ke tahap tertinggi dan memindahkan sekurang-kurangnya 2,000 penduduk.

    Gunung berapi itu kini berada pada tahap amaran kedua tertinggi.

    Indonesia, sebuah negara kepulauan sering mengalami letusan disebabkan kedudukannya di ‘Lingkaran Api Pasifik’ iaitu kawasan dengan aktiviti gunung berapi dan seismik yang aktif.

    Pada Disember tahun lalu, letusan di salah satu gunung berapi paling aktif di negara itu, Gunung Marapi di Sumatera Barat, telah mengorbankan sekurang-kurangnya 24 pendaki, kebanyakannya pelajar universiti.

    Pada Mei, lebih 60 orang maut selepas hujan lebat menghanyutkan bahan gunung berapi dari Marapi ke kawasan perumahan, sekali gus menghanyutkan rumah berkenaan. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Selatan sambung latihan artileri di sempadan

    SEOUL, 2 JULAI – Korea Selatan menyambung semula latihan artileri berhampiran sempadan dengan Korea Utara pada Selasa buat kali pertama dalam tempoh enam tahun,...