Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gunung berapi meletus di Flores

    JAKARTA, 21 SEPT – Sebuah gunung berapi di timur Indonesia meletus beberapa kali, memuntahkan debu setinggi beberapa kilometer ke udara selepas pihak berkuasa menaikkan tahap amaran ke paras tertinggi, sekali gus memaksa sebuah lapangan terbang tempatan menghentikan operasi kelmarin.

    Gunung Lewotobi Laki-Laki, gunung berkembar setinggi 1,584 meter di Pulau Flores, mula mengalami siri letusan pada malam Jumaat. Letusan terbesar berlaku pada jam 10:46 malam, dengan bahan letusan membumbung setinggi enam kilometer dari puncaknya, menurut kenyataan agensi vulkanologi.

    Aktiviti berterusan pada pagi kelmarin dengan beberapa letusan direkodkan, termasuk satu yang menghasilkan tiang abu setinggi 2.5 kilometer ke udara.

    Letusan berlaku selepas agensi geologi menaikkan tahap amaran gunung berapi itu ke tahap keempat – yang tertinggi dalam sistem empat peringkat Indonesia, pada malam Jumaat.

    Ketua Agensi Geologi, Muhammad Wafid, memberi amaran kepada penduduk dan pelancong supaya berada sekurang-kurangnya enam kilometer dari kawah gunung berapi tersebut. Dia turut menekankan abu gunung berapi boleh mengganggu operasi lapangan terbang dan laluan penerbangan.

    “Abu daripada letusan Gunung Lewotobi Laki-Laki juga boleh menjejaskan operasi lapangan terbang dan laluan penerbangan jika merebak ke kawasan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

    Penduduk, khususnya yang tinggal berhampiran sungai, turut diingatkan supaya berwaspada terhadap kemungkinan banjir lahar iaitu aliran lumpur atau runtuhan bahan gunung berapi, sekiranya hujan lebat berlaku.

    Gunung Lewotobi Laki-Laki setinggi 1,584 meter di Pulau Flores, Indonesia, mula mengalami siri letusan kebelakangan ini. – AFP

    Sebuah lapangan terbang domestik di bandar Maumere, yang juga terletak di Pulau Flores, menghentikan operasi selepas letusan berlaku. Ketua Lapangan Terbang Frans Seda, Partahian Panjaitan, berkata pihak berkuasa akan memantau perkembangan hari ini sebelum membuat keputusan untuk dibuka semula.

    Pada Julai lalu, gunung berapi ini pernah memuntahkan abu setinggi 18 kilometer sehingga menyebabkan 24 penerbangan ke Lapangan Terbang Antarabangsa di Pulau Bali dibatalkan.

    Bagaimanapun, lapangan terbang Bali beroperasi seperti biasa tanpa gangguan kelmarin, kata jurucakap Gede Eka Sandi Asmadi kepada AFP.

    Indonesia merupakan sebuah negara kepulauan yang luas, kerap mengalami aktiviti seismik dan gunung berapi kerana kedudukannya di Lingkaran Api Pasifik. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda