Sunday, January 19, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gunung berapi meletus di Iceland

    HELSINKI, 11 JULAI – Sebuah gunung berapi meletus di Iceland selepas beberapa hari negara itu dilanda gempa bumi, lapor Xinhua memetik laporan stesen penyiar Iceland RUV pada Isnin.

    Letusan di Semenanjung Reykjanes berhampiran ibu negara Reykjavik berlaku kira-kira 4:40 petang waktu tempatan kelmarin, menurut Pejabat Meteorologi Iceland.

    Profesor geofizik Magnus Tumi Gudmundsson berkata hanya letusan kecil berlaku setakat ini, tetapi masih terlalu awal untuk menyatakan bagaimana ia akan berkembang. Aliran lahar sepanjang 200 meter dicatatkan pada petang kelmarin.

    Pejabat Meteorologi Iceland membandingkan letusan berkenaan dengan permulaan aktiviti gunung berapi di kawasan itu pada 2021 dan 2022. Pergolakan seismik semasa bermula pada 4 Julai.

    Menurut Isavia, yang mengendalikan Lapangan Terbang Antarabangsa Keflavik, letusan itu tidak memberi kesan kepada penerbangan domestik atau antarabangsa.

    Bagaimanapun, penerbangan dilarang dalam radius tiga batu dari letusan gunung berapi, kecuali penerbangan yang membawa saintis dan pasukan kecemasan. – Bernama

    Kelihatan beberapa orang melihat lahar yang mengalir semasa letusan gunung berapi di Semenanjung Reykjanes di Iceland, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda