KINSHASA, 15 OKT – Gunung berapi Nyamulagira yang terletak di timur Republik Demokratik Congo (DRC) dilaporkan meletus, menurut sumber dari Balai Cerap Gunung Berapi Goma (OVG) kelmarin, lapor Xinhua.
Letusan itu menyebabkan lava keluar dari kawah gunung dan mengalir ke arah utara, barat dan barat daya, kata pengarah saintifik OVG Charles Balagizi.
Gambar satelit terkini menunjukkan tiga aliran lava terbentuk di lereng gunung berapi, dengan aliran yang paling maju bergerak sejauh kira-kira 7 kilometer, menurut Balagizi.
“Cahaya merah terang kelihatan di puncak Gunung Berapi Nyamulagira dan dapat dilihat dari bandar Goma,” katanya kepada agensi akhbar Congo (CPA) lewat kelmarin.
Pihak berkuasa DRC masih belum memberi sebarang reaksi terhadap letusan ini.
Gunung berapi Nyamulagira dianggap antara gunung berapi paling aktif di Afrika.
Goma menempatkan dua gunung berapi aktif, iaitu Nyamulagira dan Nyiragongo.
Gunung Nyiragongo meletus pada Mei 2021, mengakibatkan kira-kira 32 kematian. – Bernama