JAKARTA, 23 APRIL – Gunung berapi Semeru di Wilayah Jawa Timur, Indonesia meletus sebanyak empat kali pada Selasa, menghamburkan abu setinggi 800 meter dari puncaknya, menurut Pusat Volkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG), lapor Xinhua.
“Letusan pertama berlaku pada 5:55 pagi waktu tempatan, dengan letusan abu mencapai 800 meter ke arah utara, diikuti letusan kedua pada 6:30 pagi dengan ketinggian abu mencecah 700 meter ke timur laut selama 120 saat,” kata Yadi Yuliandi, pegawai di Pos Pemerhatian Gunung Semeru.
Letusan ketiga berlaku pada 8:41 pagi selama 113 saat, manakala letusan keempat pada 12:08 tengah hari berlangsung selama 135 saat dengan abu setinggi 800 meter.
Gunung berapi setinggi 3,676 meter yang terletak di sempadan Wilayah Lumajang dan Malang itu kini berada pada tahap amaran kedua.
PVMBG mengesyorkan orang ramai agar tidak menjalankan sebarang aktiviti dalam radius 3 kilometer dan 8 kilometer ke arah tenggara dari puncak gunung, serta mengelakkan kawasan aliran sungai yang berpunca dari Gunung Semeru. – Bernama
