JAKARTA, 20 NOV – Ratusan penduduk Indonesia berlindung di pusat pemindahan sementara hari ini selepas sebuah gunung berapi di pulau utama Jawa meletus, mengakibatkan kerosakan rumah dan sebuah sekolah, dengan kira-kira 190 orang dipindahkan dari lereng gunung, menurut pihak berkuasa.
Gunung Semeru di Jawa Timur meletus kelmarin petang, memuntahkan abu dan gas sejauh lebih 13 kilometer, memaksa pihak berkuasa menaikkan status amaran ke tahap tertinggi.
Aktiviti gunung berapi beransur reda tetapi masih berubah-ubah hari ini, menurut agensi geologi Indonesia.
Hampir 900 orang tinggal di pusat pemindahan yang disediakan di sekolah, masjid dan balai desa selepas letusan, menurut pegawai agensi bencana, Sultan Syafaat.
“Pada waktu malam, mereka tinggal di pusat pemindahan, mungkin kerana masih trauma,” katanya.

Penduduk Faiz Ramadhani memberitahu AFP letusan itu ‘sangat mengerikan’.
“Pada waktu itu, jam empat petang, rasanya seperti tengah malam. Sangat gelap,” kata pemuda berusia 20 tahun itu.
Beberapa rumah berhampiran gunung berapi sebahagiannya tertimbus abu dan serpihan batuan gunung berapi.
Ketua kampung Supiturang, Nurul Yakin Pribadi, berkata dia ‘terkejut’ apabila mendapati rumahnya rosak.
“Terdapat timbunan serpihan bahan gunung berapi setinggi satu meter di atas rumah saya,” katanya kepada AFP. “Banyak rumah penduduk rosak.”
Sekurang-kurangnya sebuah sekolah rendah musnah, menurut setiausaha daerah Lumajang, Agus Triyono, yang menambah pihak berkuasa masih mengumpul data mengenai kerosakan infrastruktur.
Sekurang-kurangnya tiga orang mengalami kecederaan akibat melecur, menurut kenyataan pegawai pencarian dan penyelamatan.
Pihak berkuasa turut memindahkan kira-kira 190 orang dari lereng gunung hari ini, kebanyakannya pendaki yang terkandas di tapak perkhemahan selepas letusan, menurut Rudijanto Tjahja Nugraha, ketua taman negara Semeru.
Letusan Semeru pada 2021 mengorbankan lebih 50 orang dan merosakkan lebih 5,000 rumah, memaksa hampir 10,000 orang mencari perlindungan. – AFP
