MANILA, 2 OKT – Gunung berapi yang meletus dengan mengeluarkan abu dan wap di selatan ibu negara Filipina hari ini, mendorong amaran kesihatan awam dikeluarkan tetapi tidak mengakibatkan kecederaan, kata pihak berkuasa.
Kepulan bahan gunung berapi menjulang naik setinggi 2,400 meter dari Gunung Berapi Taal apabila ia meletus hari ini, kata institut gunung berapi negeri itu.
Bagaimanapun, tiada pemindahan dilaporkan bagi penduduk kampung sekitar gunung berapi itu, yang terletak di tengah-tengah tasik kira-kira 50 kilometer ke selatan Manila,namun mereka dinasihatkan supaya memakai pelitup muka.
Gunung berapi tersebut mempunyai letusan freatomagmatik, yang berlaku apabila magma berinteraksi dengan air dan menghasilkan kepulan wap, abu dan bahan gunung berapi lain, kata Pengarah Agensi Volkanologi Negeri Filipina, Teresito Bacolcol, kepada AFP.
“Gas itu boleh memudaratkan, jadi kami menggalakkan orang ramai memakai pelitup muka,” kata Bacolcol.
Agensi itu berkata tahap amaran kekal pada tahap satu rendah iaitu pada skala 0-5.
“Buat masa ini, kami sedang melihat parameter lain dan kami tidak melihat peningkatan dalam bilangan gempa bumi gunung berapi,” kata Bacolcol.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan tiada pemindahan yang dirancang, kata pegawai bencana bandar Batangas, Victor Pascual, kepada AFP. – AFP