Tuesday, April 29, 2025
25.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gunung Bulusan meletus, Filipina naikkan tahap amaran

    MANILA, 28 APRIL – Pihak berkuasa Filipina menaikkan tahap amaran untuk Gunung Bulusan di wilayah Sorsogon, tenggara Manila selepas gunung berapi itu memuntahkan asap tebal setinggi 4.5 kilometer ke udara hari ini.

    Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina (PHIVOLCS) dalam satu kenyataan memaklumkan tahap amaran dinaikkan dari sifar ke satu pada skala lima, selepas letusan freatik berlaku pada 4:36 pagi dan berlarutan selama 24 minit.

    “Letusan itu memuntahkan abu setinggi 4.5 kilometer dari kawah sebelum berserakan ke arah barat hingga barat daya,” menurut kenyataan itu.

    Gambar fail menunjukkan pemandangan gunung berapi Bulusan yang memuntahkan abu dari bandar Irosin, wilayah Sorsogon, selatan Manila pada 13 Jun 2022. – AFP

    Institut terbabit memberi amaran tentang kemungkinan letusan berulang, menggesa penduduk setempat supaya berwaspada dan melarang sebarang aktiviti dalam zon bahaya sejauh 4 kilometer dari kawah gunung.

    PHIVOLCS turut menasihatkan juruterbang dan pihak berkuasa penerbangan awam supaya mengelakkan penerbangan berhampiran puncak Gunung Bulusan.

    Filipina mempunyai 24 gunung berapi aktif. Selain Gunung Bulusan, Gunung Mayon di wilayah Albay dan Gunung Taal berhampiran Manila kini berada pada tahap amaran satu, manakala Gunung Kanlaon diletakkan pada tahap amaran tiga, menunjukkan ketidakstabilan magma dengan peningkatan risiko letusan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda