MILAN, 3 JUN – Gunung Etna di Sicily mempamerkan letusan dramatik kelmarin, menghamburkan kepulan asap dan abu beberapa kilometer ke udara, namun pihak berkuasa memaklumkan bahawa aktiviti tersebut tidak mengancam keselamatan penduduk.
Tahap amaran akibat aktiviti gunung berapi itu telah dinaikkan di Lapangan Terbang Catania, tetapi tiada gangguan segera dilaporkan.
Kemas kini rasmi pada sebelah petang menyatakan bahawa pelepasan awan abu telah berakhir.
Institut Nasional Geofizik dan Volkanologi Itali (INGV) memaklumkan bahawa fenomena di gunung berapi paling aktif di Eropah itu berlaku apabila sebahagian kawah tenggara runtuh, menyebabkan aliran lahar panas. Ia merupakan fasa letusan ke-14 dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Kawasan berisiko hanya tertumpu di puncak Gunung Etna, yang ditutup kepada pelancong sebagai langkah berjaga-jaga, menurut Stefano Branca, pegawai INGV di Catania.
Presiden Sicily, Renato Schifani, berkata aliran lahar yang terhasil dalam letusan itu tidak melepasi kawasan semula jadi yang bertindak sebagai benteng, “dan tidak mengancam keselamatan penduduk.” – AP


