KOFU, 6 NOV – Gunung Fuji, ikon Jepun diselimuti salji pertama musim ini hari ini, menjadikannya tarikh paling lewat dalam rekod berikutan cuaca panas yang luar biasa, menurut Agensi Berita Kyodo.
Puncak gunung setinggi 3,776 meter yang terletak di antara wilayah Shizuoka dan Yamanashi itu dilapisi salji nipis pada waktu pagi, seperti disahkan oleh seorang wartawan Kyodo News.
Balai cerap Kofu setiap tahun mengumumkan pemerhatian salji untuk gunung tertinggi di Jepun, masih belum dapat mengesahkan salji berkenaan disebabkan awan yang menghalang pandangan.
Setelah disahkan oleh balai cerap, salji pertama itu secara rasmi akan mengatasi rekod sebelumnya yang dicatat pada 26 Oktober 1955 dan 2016.
Cuaca panas berterusan sejak beberapa minggu kebelakangan ini, dengan suhu purata di puncak gunung mencapai 1.6 darjah Celcius pada Oktober, tertinggi bagi bulan itu sejak rekod bermula pada 1932 dan 3.6°C lebih tinggi daripada purata tahunan. – Bernama