Saturday, November 16, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gunung Fuji ‘merintih’ dibebani ramai pelancong

    GUNUNG FUJI, JEPUN – Dengan berjuta-juta pelawat setiap tahun dan bas, trak bekalan, kedai mi serta magnet peti sejuk, Gunung Fuji Jepun tidak lagi menjadi kawasan pelancongan yang tenang seperti dahulu.

    Kini, pihak berkuasa ingin menghen-tikannya, menekankan bahawa bilangan tinggi pendaki ke gunung berapi terkenal dunia ini – siang dan malam – adalah berbahaya dan menjejaskan ekologi.

    “Gunung Fuji sedang merintih,” kata gabenor kawasan tempatan minggu lalu.

    Memuji kepentingan agama dan inspirasinya kepada seniman, pada tahun 2013, UNESCO menambahkannya ke dalam senarai Tapak Warisan Dunia sebagai ‘ikon antarabangsa Jepun’.

    Tetapi seperti yang berlaku di tempat-tempat seperti Bruges di Belgium atau Gunung Sugarloaf di Rio de Janeiro, status itu bukan sahaja satu rahmat, malahan ia juga satu sumpahan.

    Pelawat berjalan melalui di bawah pintu merah, atau ‘torii’, di Kuil Gunung Fuji Komitake. – Gambar AFP
    Pengunjung berehat daripada pendakian mereka di lereng Gunung Fuji. – Gambar AFP
    Dua pengunjung berehat di peringkat kelima di lereng Gunung Fuji. – Gambar AFP
    Pelawat mendaki lereng Gunung Fuji puncak tertinggi Jepun pada 3,776 meter. – Gambar AFP
    Pelawat menuruni cerun Gunung Fuji, puncak tertinggi Jepun pada 3,776 meter. – Gambar AFP

    Bilangan pelawat meningkat lebih daripada dua kali ganda antara tahun 2012 dan 2019 menjadi 5.1 juta dan itu hanya untuk wilayah Yamanashi, titik permulaan utama ke gunung itu.

    Bukan hanya pada siang hari sekumpulan manusia meredah tanah hitam gunung berapi dalam perjalanan mereka mendaki gunung setinggi 3,776 meter itu.

    Bahkan, pada waktu malam juga ramai orang berbaris dalam perjalanan mendakinya, menggunakan lampu suluh di kepala untuk menyaksikan matahari terbit pada pagi hari.

    Di tempat permulaan utama adalah tempat letak kereta yang hanya boleh menggunakan teksi atau bas yang memakan masa beberapa jam dari Tokyo, kira-kira 100 kilometer jauhnya.

    Di tempat tersebut terdapat rangkaian kompleks restoran dan kedai yang menjual cenderahati dan snek serta minuman kepada pengunjung sebelum mereka memulakan perjalanan.

    Ia dijana diesel dan ribuan liter air digunakan dan perlu diangkut ke atas menggunakan lori dan lori itu juga akan mengangkut semua sampah turun.

    “Saya melihat banyak sisa makanan dan botol kosong minuman berselerak di kawasan cuci tangan tandas,” keluh pendaki Jepun Yuzuki Uemura, 28 tahun.

    Masatake Izumi, seorang pegawai tempatan, mengatakan bilangan pelawat yang tinggi meningkatkan risiko kemalangan.

    Sesetengah orang yang mendaki pada waktu malam “mengalami hipotermia dan terpaksa dibawa ke stesen pertolongan cemas pertama,” katanya kepada AFP.

    Sekurang-kurangnya seorang individu telah meninggal dunia setakat ini dalam musim tersebut.

    Dengan bayaran akses pilihan sebanyak AS$6.80, pelawat mendapat buku panduan dalam bahasa Jepun – terdapat kod QR untuk versi bahasa Inggeris yang menitipkan perkara yang perlu dan tidak perlu dilakukan.

    Tetapi sesetengah tidak sedar betapa sukar pendakian selama lima hingga enam jam ke puncak, di mana tahap oksigen lebih rendah dan cuaca boleh berubah dengan pantas.

    “Di sana hampir musim sejuk, sangat sejuk,” kata Rasyidah Hanan, seorang pendaki berusia 30 tahun dari Malaysia, kepada AFP ketika dalam perjalanan turun.

    Seseorang mencadangkan bahawa saringan perlu dilakukan pada individu yang ingin mendaki Gunung Fuji kerana sebahagian daripada mereka tidak bersedia. Mereka yang tidak bersedia mengenakan pakaian yang ringan dan kelihatan tidak sihat.

    Dengan meningkatnya jumlah pelancong kembali ke tahap sebelum pandemik telah menimbulkan kebimbangan pihak berkuasa.

    Minggu ini, menteri kerajaan bersidang untuk membincangkan langkah-langkah mengatasi apa yang Kenji Hamamoto, seorang pegawai Agensi Pelancongan Jepun gelar sebagai ‘kesesakan dan pencabulan etika’ di tapak-tapak yang sangat ramai dikunjungi pelancong.

    Pihak berkuasa telah mengumumkan pada bulan lalu bahawa mereka akan melaksanakan langkah-langkah kawalan orang ramai untuk pertama kali jika laluan pendakian terlalu sesak.

    Pengumuman itu sendiri telah memberi kesan dan akhirnya tiada langkah-langkah seumpamanya diambil, kata Izumi.

    Bilangan pelawat dijangka menurun tahun ini berbanding 2019, tetapi pada tahun 2024, ia boleh meningkat lagi dengan kembalinya pelancong – terutamanya dari China.

    Gabenor Yamanashi, Kotaro Nagasaki, mengatakan minggu lalu Jepun perlu mengambil langkah-langkah untuk memastikan Gunung Fuji tidak kehilangan status UNESCOnya.

    Jalan utama yang menghubungkan ke titik permulaan pendakian mungkin menghadapi masalah kesesakan lalu lintas dan cadangan untuk membangunkan sistem kereta api ringan mungkin merupakan cara untuk mengatasi masalah itu dan memudahkan akses Gunung Fuji bagi pengunjung.

    “Kami percaya bahawa dalam pelancongan Gunung Fuji, peralihan dari pendekatan kuantiti kepada kualiti adalah penting,” kata Nagasaki.

    “Saya kira Gunung Fuji adalah salah satu perkara yang membuat Jepun bangga,” kata Marina Someya, 28, seorang pendaki Jepun.

    “Terdapat ramai pelawat dan kebanyakan adalah pelancong asing,” tambahnya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda