JAKARTA, 2 JUN – Sebuah gunung berapi di timur Indonesia meletus hari ini, memuntahkan awan abu setinggi tujuh kilometer ke langit ketika pihak berkuasa memberikan amaran kepada penduduk untuk berlindung di dalam rumah.
Ia merupakan letusan yang terbaharu daripada kira-kira 100 letusan gunung berapi sejak awal tahun ini.
Gunung Ibu, yang terletak di pulau Halma-hera di wilayah Maluku Utara, meletus pada 12:45 tengah hari, hari ini, menghamburkan awan tebal abu ke udara, kata ketua Agensi Geologi, Muhammad Wafid dalam satu kenyataan.
Letusan gunung berapi itu yang telah berada pada tahap amaran tertinggi dalam sistem empat peringkat negara sejak pertengahan Mei berlarutan selama 6 minit dan 13 saat, tambahnya.
Abu dibawa oleh angin ke arah stesen pemantauan gunung berapi dan tempat perlindungan pemindahan di sebelahnya, tetapi ‘tiada kejadian panik’ dalam kalangan penduduk yang dipindahkan, kata jurucakap agensi Tebatan Bencana Negara (BNPB), Abdul Muhari dalam satu kenyataan hari ini.
“Orang ramai dinasihatkan untuk mengelakkan daripada melakukan aktiviti luar dan berlindung di dalam rumah sementara abu bercampur pasir masih turun,” kata Abdul.
Beliau menggesa penduduk menggunakan pelitup muka bagi mengelakkan masalah pernafasan.
Selepas amaran gunung berapi itu dinaikkan ke tahap berjaga-jaga tertinggi pada 16 Mei, pihak berkuasa memberikan amaran kepada penduduk tempatan dan pelancong supaya tidak memasuki zon pengecualian antara empat dan tujuh kilometer dari kawah gunung berapi itu.
Pihak berkuasa mula memindahkan penduduk tidak lama kemudian, dengan lebih 2,500 orang berpindah ke tempat perlindungan setakat hai ini, menurut data agensi mitigasi bencana tempatan. – AFP
