TERNATE, 19 JAN – Gunung berapi di Indonesia timur, Gunung Ibu, telah meletus sekurang-kurangnya 1,000 kali bulan ini, menurut laporan rasmi hari ini dan usaha pemindahan ribuan penduduk yang tinggal berhampiran kawasan gunung itu sedang dilaksanakan.
Gunung Ibu, yang terletak di pulau terpencil Halmahera di wilayah Maluku Utara, mengeluarkan asap setinggi empat kilometer ke udara dalam letusan pada Rabu lalu.
Pihak berkuasa Indonesia telah meningkatkan status amaran gunung berapi itu ke tahap tertinggi dan mengarahkan pemindahan 3,000 penduduk dari enam kampung berhampiran.
Berdasarkan data Agensi Geologi Indonesia yang dikumpulkan oleh AFP, gunung berapi itu telah meletus sebanyak 1,079 kali sejak 1 Januari, dengan abu mencapai ketinggian antara 0.3 hingga 4 kilometer di atas puncaknya.
Letusan besar terakhir berlaku hari ini pukul 1:15 pagi, mengeluarkan awan abu setinggi 1.5 kilometer ke udara.
“Abu berwarna kelabu, dengan intensiti sederhana hingga tebal, bergerak ke arah barat daya. Bunyi deruman kuat dapat didengar sehingga ke Pos Pemantauan Gunung Ibu,” kata badan tersebut dalam satu kenyataan.
Ia menambah bahawa hari ini sahaja, gunung berapi itu telah meletus 17 kali.
Walaupun keputusan telah dibuat untuk memindahkan penduduk yang terjejas, pihak berkuasa tempatan hanya berjaya memindahkan 517 penduduk setakat hari ini dan berjanji untuk terus meyakinkan mereka yang enggan berpindah agar berlindung di tempat yang selamat.
Ramai penduduk enggan berpindah dengan alasan sudah terbiasa dengan situasi tersebut dan sedang berada dalam musim menuai.
“Mungkin terdapat pertimbangan ekonomi, kerana ramai penduduk sedang dalam proses menuai tanaman. Bagaimanapun, kami akan terus memberikan pendidikan kepada masyarakat dan menggalakkan mereka berpindah,” kata Komander Tentera Daerah Ternate, Adietya Yuni Nurtono, yang bertanggungjawab terhadap tempat perlindungan selamat.
Gunung Ibu, salah satu gunung berapi paling aktif di Indonesia, telah menunjukkan peningkatan ketara dalam aktiviti sejak Jun lalu. – AFP