Friday, October 18, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gunung Kilauea meletus lagi

    HONOLULU, 4 JUN – Kilauea, salah satu gunung berapi paling aktif di dunia mula meletus awal kelmarin di kawasan terpencil dan kemudian berhenti seketika kira-kira 12 jam kemudian, menurut Balai Cerap Gunung Berapi Hawaii milik Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).

    Letusan itu berlaku kira-kira 1.6 kilometer di selatan kaldera Kilauea, di kawasan dalam Taman Negara Gunung Berapi Hawaii yang kali terakhir meletus pada Disember 1974.

    Kawasan sekitar kaldera telah ditutup kepada orang ramai sejak 2008 disebabkan risiko lain, termasuk keretakan tanah, ketidakstabilan di dinding kawah dan runtuhan batuan.

    “Cahaya boleh dilihat dalam imej dari kamera web menunjukkan bahawa lava sedang meletus daripada rekahan,” kata pemerhati USGS. Letusan pada tahun 1974 hanya berlangsung kira-kira enam jam.

    Isnin lalu, balai cerap melaporkan aliran lahar adalah perlahan antara jam 11 pagi dan tengah hari dan telah berhenti bergerak kira-kira jam 12:30 tengah hari.

    “Bagaimanapun, aktiviti di rantau ini kekal dinamik dan boleh berubah dengan cepat,” kata balai cerap itu dalam kemas kini.

    Disebabkan peningkatan pelepasan gas gunung berapi yang berterusan, kemungkinan besar letusan itu akan berlarutan. Namun para saintis akan terus memantau gunung berapi itu.

    Letusan itu berlaku di lokasi terpencil dalam taman negara dan tidak menimbulkan ancaman segera kepada orang ramai atau infrastruktur kritikal, kata balai cerap itu.

    Datuk Bandar Big Island, Mitch Roth berkata penduduk sudah terbiasa dengan letusan yang berlaku di situ.

    “Orang ramai hanya perlu sedar ini adalah salah satu tempat paling selamat yang boleh berlaku. Sama sekali tidak ada harta benda yang akan terjejas,” katanya. – AP

    Gambar AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda