JAKARTA, 19 OGOS – Gunung Lewotobi di wilayah Nusa Tenggara Timur, Indonesia, meletus beberapa kali kelmarin, mencetuskan amaran penerbangan tahap tertinggi, menurut Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi negara itu.
Letusan memuntahkan debu setinggi lapan kilometer ke udara dengan asap tebal berwarna kelabu bergerak ke arah barat dan barat laut.
Susulan itu, amaran Pemerhatian Gunung Berapi untuk Penerbangan ditingkatkan ke tahap merah, sekali gus melarang pesawat terbang di bawah paras enam kilometer di kawasan berkenaan.
Juruterbang turut diingatkan mengenai bahaya abu gunung berapi yang boleh menjejaskan enjin serta jarak penglihatan.
Bagi keselamatan penduduk dan pelancong, pihak berkuasa mengehadkan sebarang aktiviti dalam radius tujuh kilometer dari kawah gunung berapi.
Penduduk di lereng gunung dinasihatkan berjaga-jaga terhadap risiko banjir lahar yang boleh berlaku apabila hujan lebat menyebabkan sungai dari puncak melimpah.
Gunung Lewotobi, dengan ketinggian 1,584 meter, merupakan salah satu daripada 127 gunung berapi aktif di Indonesia. – Xinhua


