Gunung Merapi muntahkan hujan debu

JAKARTA, 10 NOV – Gunung Merapi yang terletak di Jawa Tengah mengeluarkan debu gunung berapi pagi semalam, membawa hujan debu ke beberapa perkampungan terletak di sekitar cerunnya.

Letusan berlaku jam 6:21 pagi waktu tempatan, setinggi 1,500 meter dan berlangsung hampir tiga minit.

“Letusan debu panas direkodkan pada amplitud maksimum 65 milimeter dan selama 160 saat. Letusan mencapai setinggi 1,500 meter dari puncak ke arah barat,” kata jurucakap Agensi Bencana dan Pencegahan Nasional, Agus Wibowo dalam satu kenyataan semalam dipetik The Jakarta Post.

Akibat letusan itu, sesetengah perkampungan di Boyolali dan Magelang di Jawa Tengah mengalami hujan debu sederhana, tanpa laporan pemerhatian debu di Yogyakarta, kata kenyataan.

“Berkaitan hujan debu, penduduk dinasihatkan memakai topeng muka apabila meninggalkan rumah.” kata Agus menasihatkan penduduk menjauhi kawasan dalam lingkungan tiga kilometer dari puncak Merapi bagi mengelak bahaya mungkin.

Memandangkan perkembangan itu tidak dianggap ancaman kepada penduduk tempatan yang menetap di sekitar cerun Merapi, pihak berkuasa memutuskan untuk mengekalkan tahap amaran waspada di peringkat kedua tertinggi dalam sistem amaran empat peringkat dilaksanakan sejak 21 Mei 2018. – Agensi