Sunday, July 13, 2025
32.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gunung Sinabung kembali meletus

    JAKARTA, 10 OGOS – Gunung berapi Sinabung di Sumatera Utara, Indonesia kembali meletus pagi ini, mengeluarkan abu dan asap berwarna kelabu menjulang ke udara setinggi 5,000 meter sekali gus menyebabkan keadaan di persekitarannya diselubungi dengan kegelapan akibat asap berkenaan.

    Menurut kenyataan Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Geologi Indonesia (PVMBG), letusan itu berlaku pada 10:16 pagi waktu Indonesia Barat dan asap serta abu itu menghala ke arah timur dan tenggara Pulau Sumatera.

    PVMBG meletakkan Gunung Sinabung berketinggian 2,451 meter itu berstatus siaga (berjaga-jaga) atau peringkat tiga.

    Gunung itu tidak pernah meletus sejak tahun 1600 namun kembali aktif pada 2010 dan letusan terakhir dilapor berlaku pada Februari 2018.

    “Masyarakat setempat dan pengunjung diminta tidak melakukan aktiviti dalam radius lima kilometer dari puncak Gunung Sinabung,” menurut kenyataan itu.

    Tiada sebarang kematian atau kecederaan telah dilaporkan akibat letusan gunung berapi itu, tetapi pihak berkuasa memberi amaran bahawa terdapat kemungkinan akan berlaku lagi beberapa letusan.

    “Ini adalah amaran untuk semua penduduk agar mengelak daripada menghampiri kawasan zon merah berdekatan Sinabung,” kata Armen Putera, seorang pegawai Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi Indonesia. Meski tiada penduduk dilaporkan yang tinggal berhampiran dengan gunung tersebut, tetapi penduduk yang paling hampir dengan gunung tersebut berkata mereka berdepan dengan keadaan yang sangat gelap. – Bernama/AFP

    Kepulan asap kelabu dan debu dilihat menjulang tinggi ke udara selepas Gunung Sinabung meletus di Sumatera Utara, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda