KUALA LUMPUR – Gunung Kinabalu yang menjulang tinggi mungkin mendominasi landskap di Sabah. Tetapi di kawasan berceranggah di Kepulauan Borneo, terdapat satu lagi permata tersembunyi untuk pendaki yang berani.
Gunung Tambuyukon yang mempunyai ketinggian 2,579 meter (m) dan menduduki tempat ketiga sebagai gunung tertinggi di Malaysia, hanya diatasi oleh Gunung Kinabalu dan Gunung Trusmadi.
Berbeza dengan dua gunung tersebut, yang mempunyai laluan popular dan kerap digunakan, Tambuyukon menawarkan hutan belantara yang belum pernah disentuh; pengalaman yang akan diterokai oleh beberapa pendaki kerana bentuk bumi yang mencabar dan persekitaran terpencil.
Pendakian yang menggerunkan itu bermula di pencawang Monggis, kira-kira 60 kilometer (km) dari Ibu Pejabat Taman Kinabalu.
Laluan di Monggis, tempat yang unik namun terpencil, menandakan permulaan perjalanan yang tidak dapat dilupakan yang mempertemukan pendaki dengan keindahan semula jadi dan biodiversiti Sabah.
Pencawang elektrik yang terdapat di tempat tersebut menyediakan kemudahan asas perkhemahan, tandas dan tempat perlindungan berbumbung kecil untuk pengembara sebelum mereka memulakan perjalanan.
Walaupun kenderaan pacuan empat roda disarankan untuk jalan berbatu menuju ke Monggis, pemandu yang berwaspada juga boleh menguruskan perjalanan mereka dengan menggunakan kenderaan standard.
Pendakian ke Gunung Tambuyukon adalah pendakian yang singkat selama sehari. Namun, ia memerlukan sekurang-kurangnya empat hari tiga malam untuk menamatkannya, walaupun sesetengah pendaki yang cergas dan berazam boleh melakukannya dalam tiga hari dua malam.
Perjalanan dari pangkalan ke puncak dan balik adalah kira-kira 16km setiap perjalanan.
Walaupun jarak itu mungkin kelihatan pendek, akan tetapi laluan itu adalah sukar, dengan kecondongan yang berterusan dan bentuk bumi lasak yang membuatkannya terasa lebih lama.
Di pelbagai tempat, para pendaki perlu meredah batu tajam, laluan berlumpur dan dedaunan hutan tebal yang memerlukan pijakan berhati-hati semasa melalui tempat tersebut.
Laluan tersebut membawa para pendaki melalui pelbagai habitat, masing-masing mempunyai daya tarikan yang unik.
Ia juga secara perlahan-lahan mengarah untuk meredah naik dari hutan tanah rendah dengan ketinggian kira-kira 200m melalui hutan pergunungan,yang kaya dengan flora dan fauna.
Tambuyukon adalah rumah kepada beberapa spesies Nepenthes, tumbuhan karnivor yang memberikan landskap kualiti yang nyata.
Para pendaki juga boleh berharap untuk bertemu dengan Nepenthes edwardiana, yang terkenal dengan kendi besarnya, dan Nepenthes villosa, ditemui pada tahun 1858 oleh Sir Hugh Low, seorang pentadbir dan naturalis British. Kedua-dua kendi tersebut adalah endemik di rantau ini.
Apabila ketinggian meningkat, tumbuh-tumbuhan akan menjadi lebih rendah dan lebih jarang, berubah menjadi flora pergunungan kerdil yang melekat pada tanah berbatu, mewujudkan pemandangan jelas dan indah.
Disebabkan kebolehcapaian gunung yang terhad, hanya sembilan pendaki dibenarkan di laluan itu pada satu-satu masa.
Sekatan itu membantu mengekalkan persekitaran gunung yang murni dan meningkatkan pengalaman kesendirian dan hutan belantara.
Selain itu, seseorang juga perlu mendapatkan permit daripada pihak berkuasa Taman Kinabalu untuk mendaki Tambuyukon.
Oleh kerana sifatnya yang mencabar dan bentuk semula jadi bumi, para pendaki juga perlu mengupah pemandu pendaki berlesen untuk memimpin mereka melalui laluan itu.
Pendakian dari tempat permulaan Monggis memerlukan stamina yang baik untuk mengendalikan bentuk bumi mencabar. Pendakian itu sendiri dipenuhi dengan penemuan, menjadikannya pengembaraan yang memerlukan usaha dan penerokaan.
Tapak perkhemahan pertama, bersebelah-an dengan sumber air di sepanjang jalan ke Kopuakan, adalah tempat penginapan satu malam terkenal bagi pendaki untuk berehat dan bagi mereka yang merancang untuk mendaki puncak keesokan harinya.
Dari Kopuakan, laluan mendaki yang curam dikenali sebagai Rock Garden. Kawasan itu memerlukan pergerakan yang berhati-hati kerana batu-batu tajam dan terdedah serta kawasannya yang sempit.
Seterusnya ialah pondok kecil perhentian untuk rehat di General Camp, pada ketinggian 2,000m, di mana para pendaki boleh menarik nafas dan mengagumi perubahan landskap.
Lebih jauh ke atas, tumbuh-tumbuhan lebat mula menipis, menawarkan pemandangan langit di atas dan beberapa pemandangan Gunung Kinabalu dari jauh.
Walaupun pemandangan puncak yang terhad, ketenangan dan kejayaan mendaki pergunungan menjadikan pendakian itu berbaloi.
Bagi mereka yang bernasib baik untuk berada di tempat tersebut semasa cuaca cerah, berpeluang menyaksikan pemandangan dari tempat lebih tinggi di mana ia mendedahkan hutan dan lembah Sabah yang luas.
Selepas sampai ke puncak, perjalanan untuk turun ke Monggis bermula, selalunya mengambil satu atau dua hari.
Para pendaki bukit yang cergas boleh melengkapkan perjalanan pulang dalam masa sehari, walaupun bahagian curam dan licin itu memerlukan kesabaran serta kegigihan para pendaki.
Perjalanan turun dari puncak gunung menawarkan peluang untuk meninjau semula pemandangan yang dilalui sebelum ini, membolehkan seseorang menghargai setiap perkara yang mungkin mereka terlepas semasa menaikinya. – ANN/TheStar