Pelawak dan penyampai radio, Issey memohon maaf kepada warganet atas gurauan kasar terhadap pelawak serta pengacara Shuk Sahar dalam program I Can See Your Voice Malaysia (ICSYVMY) musim keempat yang ditayangkan di TV3, kelmarin.
Menerusi program itu, Issey yang juga penyampai radio Suria FM mengeluarkan ayat ‘awak pernah curang saya tak pernah’ yang ditujukan pada Shuk sebagai balasan gurauan kepada dirinya.
Issey, 34, atau nama sebenarnya Fazlisham Mat Hussin berkata, dia tidak sepatutnya mengeluarkan ayat itu secara terbuka apatah lagi pada program yang ditayangkan di TV.
“Rakaman program itu pada April lalu. Saya dan Shuk memang rapat dari dulu, malah kalau kami bergurau pun agak kasar. Saling membahan. Itu saja.
“Sejujurnya saya tiada niat apa-apa ketika mengeluarkan ayat itu. Malah jauh sekali nak menjatuhkan maruah dia. Begitu juga dengan Shuk. Cuma, memang itu cara gurauan kami selama ini.
“Namun, diakui perkara ini salah kerana saya bergurau di tempat awam dan ia tidak sesuai.
Jadi, saya nak minta maaf kepada warganet sebab ini tidak patut berlaku. Sepatutnya gurauan seperti ini tidak patut dibuat secara terbuka,” katanya.
Menurut Issey, dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan Shuk.
“Dari dahulu sampai sekarang saya dan Shuk okay, kami tidak pernah ada masalah. Malah, ketika rakaman dijalankan pun kami siap melawak lagi. Selepas itu pun kami ada berjumpa,” katanya.
Sehubungan itu, Issey juga penyampai radio Suria FM berharap warganet tidak lagi memperbesarkan perkara itu. – Agensi
