KUCHING, 6 Dis 2003 – Penerbangan sebuah pesawat milik AirAsia dari Kuching ke Johor terpaksa ditangguhkan selama satu jam berikutan gurauan seorang pemuda berusia 19 tahun yang hendak merampas pesawat tersebut.
Timbalan Ketua Polis Daerah (Jenayah) Supt Tan Soon Tiong berkata penerbangan AK601 tersebut yang sepatutnya berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) pada pukul 1:10 petang ini ke Johor terpaksa ditangguhkan apabila gurauan itu didengar oleh salah seorang pramugari semasa pemuda tersebut sedang berbual dengan emaknya di dalam pesawat.
Beliau yang dipetik agensi berita rasmi Bernama berkata menurut pramugari tersebut, beliau mendengar pemuda itu berkata “Jika tiada teksi apabila kita sampai ke Johor, kita rampas kapal terbang ini dengan dua pistol saya.”
Tan yang ditemui di KIA petang ini berkata selepas mendengar gurauan itu, pramugari terbabit telah memaklumkan kepada juruterbang dan seterusnya memaklumkan kepada Pusat Kawalan.
“Selepas menerima laporan tersebut kami terus ke KIA,” katanya dan menambah pemuda yang berasal dari sini hendak pergi ke Singapura bersama dengan ibu dan dua orang adiknya iaitu seorang perempuan dan seorang lelaki.
Beliau berkata pemuda tersebut yang sedang menuntut di salah sebuah universiti di Australia kini sedang ditahan untuk siasatan lanjut sementara ahli keluarganya dibebaskan.
Tan seterusnya memberi amaran kepada penumpang-penumpang pesawat untuk bertindak lebih rasional dan jangan melakukan gurauan yang boleh menyebabkan lain-lain penumpang dalam keadaan cemas.
“Ini perkara yang serius dan kita minta semua pihak berkerjasama dalam hal ini,” katanya.
Sementara itu tinjauan di KIA mendapati insiden tersebut menyebabkan kebanyakkan orang-ramai berada dalam keadaan cemas menyangka ada kejadian buruk berlaku di dalam pesawat yang mendarat di KIA.