ALGIERS, 12 FEB – Guru-guru di seluruh Algeria mengadakan mogok, hari ini, sebagai bantahan terhadap gaji yang rendah dan keadaan kerja yang semakin merosot, berikutan demonstrasi yang dilakukan oleh pelajar bulan lalu dalam satu protes luar biasa.
Pelajar berdiri di luar bilik darjah yang ditutup dan berkeliaran tanpa tujuan kelmarin, apabila guru-guru memulakan mogok dua hari.
Tindakan oleh guru dan pelajar itu berlaku pada masa di mana kritikan awam terhadap kerajaan semakin jarang kedengaran. Guru-guru berkata mogok tersebut penting di tengah pengurangan hak secara beransur-ansur, termasuk hak wanita, media dan parti pembangkang.
“Hak untuk mogok adalah hak yang termaktub dalam perlembagaan,” kata Hafidha Amireche, seorang aktivis kesatuan sekerja lama.
Algeria yang kaya dengan gas telah lama berbangga dengan sistem pendidikan percuma dan peluang yang diberikan kepada pelajar dan guru.
Namun, walaupun melabur lebih banyak dalam pendidikan berbanding negara jiran – negara itu hanya berbelanja lebih untuk tentera – sistem sekolah kini menjadi sasaran kemarahan rakyat terhadap masalah kerajaan yang lebih besar seperti kenaikan kos, rasuah dan kekurangan pekerjaan untuk pekerja terpelajar seperti guru.
Guru-guru mengatakan mereka dibayar rendah dan golongan muda yang terpelajar semakin mencuba untuk berhijrah keluar dari negara ini untuk mencari peluang, dengan permohonan visa Eropah meningkat secara berterusan. – AP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/P21-4_13022025.jpg)