Sunday, February 9, 2025
22.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Guru bantu hidupkan semula bahasa Berber

    Gambar AFP

    ZUWARA, LIBYA – Seorang murid dengan malu-malu mendekati papan tulis, mengambil pen penanda dan dengan hati-hati menyurih huruf dari abjad Berber sementara guru memperhatikan – satu pemandangan yang mustahil dibayangkan di bawah pemerintahan diktator Libya, Muammar Gaddafi.

    Tamazight telah menjadi bahasa asli penduduk peribumi di seluruh Afrika Utara sejak zaman pra-Rom. Meskipun dikuasai Arab selama berabad-abad, bahasa ini tetap bertahan dan mengalami kebangkitan di Libya sejak pemerintahan Gaddafi selama empat dekad berakhir dalam revolusi tahun 2011.

    Di bandar Zuwara, sebuah komuniti majoriti Berber yang terletak berhampiran dengan sempadan Tunisia, guru Assirem Shawashi menggalakkan murid-muridnya yang berusia sembilan tahun untuk mendekati papan tulis, seorang demi seorang, untuk melukis simbol-simbol.

    “Kanak-kanak amat menyukai mata pelajaran ini kerana mereka menemui identiti dan budaya mereka di dalam buku-buku,” kata Shawashi, yang mengenakan gaun hitam dan hijab kelabu.

    “Ini bukan hanya tentang abjad dan kosa kata, tetapi sebuah budaya keseluruhan yang kami turunkan kepada mereka.”

    Guru Assirem Shuwashi (kiri) memerhati ketika seorang pelajar menulis bahasa Tamazight di sebuah sekolah di Zuwara.
    Pelajar Libya belajar bahasa Tamazight di sebuah sekolah di Zuwara, komuniti Berber berdekatan sempadan Tunisia.

    Pengarah sekolah, Sondoss Saki memberikan reaksi terhadap pengajaran bahasa Tamazight di Zuwara.
    Guru Assirem Shuwashi (kiri) dan arkitek Ismail Abudib menyampaikan program radio dalam bahasa Tamazight di Kasas FM di Zuwara.

    Kira-kira 10 peratus daripada tujuh juta penduduk etnik Libya adalah orang Berber.

    Gaddafi berusaha untuk menghapuskan budaya mereka sementara mempromosikan identiti Arab.

    Namun, bagi sesetengah orang, terutama di pergunungan barat yang terpencil, terus bertutur dalam bahasa mereka di rumah, di luar jarak pendengaran polis rahsia yang ditakuti.

    Mereka termasuk warga Zuwara, yang terletak sejauh 120 kilometer di barat ibu negara Tripoli, yang telah mempertahankan budaya mereka sepanjang pemerintahan Yunani, Rom, Arab, Ottoman dan Itali.

    Libya telah menyaksikan pergelutan kuasa yang kompleks dan sering kali berdarah selama satu dekad sejak kejatuhan Gaddafi dalam pemberontakan yang disokong NATO, namun pihak berkuasa di Tripoli telah bersikap bertolak ansur terhadap budaya Berber, bahkan menyediakan buku pelajaran di sekolah – meskipun bahasa ini belum diberikan status rasmi.

    Shawashi adalah anggota kelas pertama yang lulus dengan ijazah dalam bahasa Tamazight dari Universiti Zuwara tahun lalu.

    Murid-muridnya yang lebih muda tidak pernah merasakan kehidupan di bawah pemerintahan Gaddafi, katanya.

    “Ini adalah hak semula jadi untuk belajar bahasa ibunda mereka, dan mereka tidak dapat membayangkan bahawa ada orang yang akan melarangnya.”

    Dia berkata buku pelajaran Tamazight tiba sejurus selepas revolusi, dari Maghribi di mana bahasa ini diiktiraf mengikut perlembagaan.

    Sejak itu, komuniti telah mencatat ‘kemajuan yang sangat besar’, tambah Shawashi.
    “Kami sendiri pun rasa terkejut.”

    Sondoss Saki, pengarah sekolah tersebut, berkata kelas pertama pada tahun 2012 mengalami ‘kesulitan awal’ disebabkan kekurangan guru yang terlatih dan kekeliruan mengenai kurikulum mana satu yang harus diikuti.

    Beberapa ibu bapa bimbang anak-anak mereka akan mempunyai beban berlebihan, dengan alasan bahawa bahasa Arab dan Inggeris diberikan keutamaan yang lebih tinggi.

    “Tetapi anak-anak datang ke sini untuk belajar, dan fikiran mereka terbuka luas untuk menimba ilmu pengetahuan,” kata Saki dengan yakin, duduk di belakang mejanya di mana bendera Libya dan Amazigh (Berber) diletakkan bersebelahan.

    Apabila kelas sudah berakhir, Shawashi pergi ke studio Kasas FM, yang ditubuhkan pada tahun 2012 sebagai stesen radio tempatan pertama di Libya yang menyiarkan program dalam bahasa Tamazight.

    Shawashi, yang bekerja sebagai juruhebah pada waktu lapangnya, bertemu dengan pengarah program, Ismail Abudib untuk membincang acaranya yang akan datang tentang kesusasteraan Amazigh.

    Abudib, seorang arkitek berusia 28 tahun yang memakai kemeja putih dan blazer kelabu, berkata dia melihatnya sebagai tugasnya untuk mempertahankan hak-hak komunitinya.

    Menurutnya, Kasas FM adalah salah satu cara untuk melakukannya, sambil duduk di depan meja mixer kecil di ruang kawalan stesen.

    Stesen radio tersebut merangkumi isu-isu sosial, budaya, agama, hiburan dan sukan, katanya, ‘semua subjek yang menarik minat pendengar, dalam bahasa yang difahami mereka dengan baik.’

    “Memuliakan bahasa awda dan bangga dengan identiti awda tidak menghalang awda untuk hidup bersama komuniti lain,” kata Abudib.

    “Kami berjalan ke depan dan tidak menoleh ke belakang pada masa-masa penindasan dan penyisihan. Seluruh dunia dipenuhi dengan diversiti, dan sebagai rakyat Libya, kami seharusnya mampu hidup bersama dengan aman damai.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda