Friday, January 3, 2025
31.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Guru berkualiti pemacu transformasi pendidikan

    Oleh Sim Y.H. –

    Tidak dapat dinafikan bahawa guru memainkan peranan yang amat penting sebagai pemacu transformasi dan pendidik golongan muda generasi baharu supaya mereka dapat menjadi individu yang berfikiran rasional, inovatif, kreatif serta mempunyai daya tahan fizikal dan mental yang tinggi.

    Oleh itu, amat penting bagi seorang guru memiliki sahsiah yang teguh dan tinggi yang boleh dicontohi sebagai seorang guru berkualiti sesuai dengan tema Sambutan Hari Guru ke-33, 2023 iaitu Guru Berkualiti Pemacu Transformasi Pendidikan.

    Guru berkualiti merupakan guru yang mempunyai pengetahuan yang luas dan mendalam mengenai aspek dan bidang pengajaran serta pembelajaran yang sesuai dengan tahap kebolehan pelajar diajar.

    Ini didorong oleh ciri-ciri sikap yang berkualiti termasuk sentiasa berfikiran positif, terbuka, peka dan responsif dalam mengikuti trend serta evolusi pendidikan yang dinamik.

    Guru sebagai pemacu adalah penggerak yang menggerakkan sesuatu usaha dengan cepat serta berkesan untuk mencapai sasaran yang dihasratkan.

    Transformasi pendidikan

    Transformasi bererti perubahan terhadap sifat, sikap, fungsi dan tingkah laku, ke arah yang lebih baik. Pendidikan pula merupakan proses atau aktiviti yang dijalankan secara sistematik dalam mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran untuk mengembangkan potensi diri pelajar.

    Gambar fail sempena Hari Buku Sedunia pada 13 Julai 2021. – Gambar fail Media Permata
    Gambar fail peserta walkaton bergambar ramai semasa acara sempena Hari Guru ke-32 pada 30 Oktober 2022. – Gambar fail Media Permata
    Gambar fail penerima Anugerah Hari Guru ke-32 pada 9 September 2022.– Gambar fail Media Permata

    Sementara itu, transformasi pendidikan merujuk kepada proses perubahan dalam memajukan perkembangan sistem pendidikan Negara Brunei Darussalam yang berpaksikan nilai-nilai murni ajaran agama Islam dan tadbir urus yang menerapkan prinsip Maqasid Syariah.

    Salah satu aspek penting dalam proses berkenaan ialah penekanan terhadap pembangunan profesional guru yang bersandarkan kompetensi dan kemahiran yang diperlukan menerusi kepelbagaian program dan latihan pembangunan yang relevan serta berancang.

    Kepentingan pembangunan dan pengupayaan sedemikian itu, adalah selaras dengan hasrat untuk melahirkan warga pendidik yang berkualiti tinggi, yang memiliki sahsiah yang teguh, berfikiran rasional, inovatif, kreatif serta mempunyai daya tahan dan jati diri yang kental dengan terus peka kepada trend evolusi pendidikan global.

    Merealisasikan Matlamat 1 Wawasan Brunei 2035

    Sektor pendidikan terus memainkan peranan penting dalam merealisasikan Matlamat 1 Wawasan Brunei 2035 iaitu rakyat yang berpendidikan tinggi, berkemahiran dan berjaya.

    Bagi merealisasikan hasrat itu, ia memerlukan sektor berkenaan untuk meneroka pendekatan dan kaedah baharu dalam konteks transformasi pendidikan yang mampu memberikan impak positif besar terutamanya ke atas pengajaran dan pembelajaran di setiap institusi pendidikan di Negara Brunei Darussalam.

    Oleh itu, keberkesanan dalam sistem pendidikan itu nanti akan diterjemahkan sebagai berupaya membekalkan pelajar-pelajar dengan pengetahuan serta kemahiran yang diperlukan bukan sahaja dari sudut kejayaan dalam kehidupan tetapi juga menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan negara yang merentas pelbagai bidang di mana mereka akan menjadi aset negara yang berpendidikan, berkemahiran dan berjaya.

    Asas pendidikan awal kanak-kanak

    Dalam menjana transformasi pendidikan, tidak kurang pentingnya untuk menitikberatkan kepentingan pendidikan awal kanak-kanak sebagai asas kukuh kepada pembangunan kemahiran kognitif, kreativiti dan keyakinan kanak-kanak.

    Semua tindakan tersebut sejajar dengan tujuan strategik Kementerian Pendidikan untuk memastikan kesaksamaan dalam pendidikan sebagai asas utama dalam penyediaan pendidikan yang berfokus pada praktik pedagogi berkualiti tinggi.

    Potensi teknologi digital dalam pendidikan

    Bagi meraih potensi teknologi digital yang ada pada masa ini, semua pihak terutamanya para guru harus sama-sama memainkan peranan dalam memastikan kejayaan sepenuhnya transformasi digital yang diterokai dalam sistem pendidikan negara.

    Apa yang pasti ialah keberhasilan yang disasarkan menerusi kecanggihan pendekatan serta kaedah baharu dalam pengajaran dan pembelajaran yang dapat membantu meningkatkan lagi pencapaian setiap pelajar.

    Namun, dalam mengadaptasikan kemodenan era teknologi digital, sistem pendidikan negara akan terus menekankan soal adab orang Brunei yang berlandaskan falsafah negara, Melayu Islam Beraja dengan sentiasa berpegang teguh kepada nilai-nilai dan ajaran agama Islam.

    Keperluan dalam memacu transformasi pendidikan dari peringkat awal kanak-kanak memerlukan para guru untuk sentiasa meningkatkan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan sesuai dengan tuntutan kemahiran abad ke-21 supaya terus berupaya menelusuri arus perubahan yang berlaku dalam sistem pendidikan dari semasa ke semasa.

    Guru berkualiti tidak dinafikan mampu menyuntik dan memacu semangat para pelajar untuk sentiasa memiliki minda yang cenderung ke arah pembelajaran sepanjang hayat, terdorong bagi mengasah kemahiran mereka ke tahap tertinggi serta meneroka peluang-peluang untuk membuktikan kebolehan mereka menurut sukat-sukat antarabangsa dan merealisasikan matlamat wawasan 2035.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda