Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Guru besar, kontraktor tuntut bayaran guna dokumen palsu

    KOTA KINABALU, 21 MEI – Seorang guru besar sebuah sekolah rendah di Pitas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas lapan pertuduhan mengemukakan dokumen palsu dan bersubahat dengan kontraktor bagi tuntutan bayaran pembekalan alatan keperluan sekolah berjumlah RM9,667 empat tahun lepas.

    Tertuduh, Abd Rasad Sadikir @ Sadikil, 55, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jason Juga.

    Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, tertuduh didakwa menggunakan dokumen palsu sebagai tulen iaitu nota minta bagi mendapatkan pembayaran bekalan peralatan bimbingan kaunseling, peralatan kertas ujian sekolah, peralatan pusat sumber sekolah dan peralatan pejabat sekolah.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat am di Sekolah Kebangsaan Manggis/Mangkubou, Pitas antara Oktober hingga Disember 2018.

    Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 468 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

    Bagi empat pertuduhan bersubahat, Abd Rasad didakwa bersubahat dengan membantu kontraktor Rasnah Majuan, 48, mengemukakan dokumen palsu iaitu pesanan sekolah dan invois Syarikat Pemborong Bina Dana berjumlah RM9,667 untuk menipu bagi tujuan mendapatkan pembayaran.

    Sementara itu, Rasnah turut mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan mengikut seksyen sama kerana bersubahat mengemukakan dokumen palsu berkenaan bersama Abd Rasad. 

    Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM10,000 setiap seorang dengan seorang penjamin serta perlu melapor diri di pejabat SPRM setiap dua bulan selain perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...