KLANG, 26 SEPT – Seorang guru agama dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen hari ini kerana menganiaya tiga kanak-kanak lelaki dengan merotan dan menekan dada mangsa menggunakan lututnya di dua sekolah yang dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).
Hakim Noridah Adam menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Barur Rahim Hisam, 23, selepas tertuduh mengaku bersalah atas keempat-empat pertuduhan terbabit.
“Saya mengaku bersalah puan,” kata tertuduh sambil menundukkan kepala ketika ditanya jurubahasa mahkamah berhubung pengakuannya.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun bagi pertuduhan pertama dan kedua manakala penjara tiga tahun bagi pertuduhan ketiga dan keempat serta memerintahkan hukuman penjara itu berjalan secara berasingan menjadikan kesemuanya berjumlah 10 tahun.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dikenakan bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan seorang penjamin berserta cagaran RM10,000 dan sekiranya gagal mamatuhi bon, boleh dipenjara enam bulan.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Muhammad Barur Rahim yang juga warden sekolah berkenaan didakwa sebagai seseorang mempunyai pemeliharaan terhadap dua kanak-kanak lelaki berumur 11 dan 10 tahun menganiaya kedua-dua mangsa dengan merotan mereka yang mungkin akan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal.
Kesalahan itu dilakukan di dua lokasi iaitu di sebuah premis dan sekolah rendah agama di Bandar Bukit Raja sekitar Julai lepas pada waktu pagi dan petang, mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya. – Bernama


