Khamis, November 20, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Guru ditembak murid terima pampasan AS$10j

    WASHINGTON, 7 NOV – Seorang juri di Virginia kelmarin menganugerahkan pampasan berjumlah AS$10 juta kepada bekas guru sekolah yang ditembak oleh muridnya yang berusia enam tahun.

    Guru terbabit, Abby Zwerner, 28 tahun, cedera parah dalam insiden tembakan yang berlaku pada Januari 2023 di sebuah sekolah rendah di bandar Newport News.

    Zwerner, yang ketika itu mengajar murid tahun satu, dimasukkan ke hospital selama dua minggu akibat kecederaan pada tangan dan dada selepas terkena sebutir peluru.

    Dia kemudian memfailkan saman terhadap penolong pengetua, Ebony Parker, atas dakwaan mengabaikan amaran bahawa murid berkenaan membawa pistol ke sekolah.

    Dalam tuntutannya, Zwerner mendakwa berlaku kecuaian melampau dan menuntut pampasan sebanyak AS$40 juta.

    Selepas perbicaraan berlangsung, juri akhirnya memutuskan Zwerner layak menerima pampasan AS$10 juta, selepas dia tampil memberi keterangan bahawa ketika kejadian dia ‘menyangka telah meninggal dunia’.

    Sementara itu, ibu kepada murid yang menembak Zwerner dijatuhi hukuman penjara empat tahun selepas disabitkan atas kesalahan pengabaian kanak-kanak dan memiliki senjata api.

    Bagaimanapun, tiada pertuduhan dikenakan ke atas kanak-kanak tersebut.

    Walaupun kejadian melibatkan kanak-kanak yang mendapat akses kepada senjata api tanpa kawalan adalah perkara biasa di Amerika Syarikat (AS), kes tembakan di sekolah oleh murid bawah umur 10 tahun adalah amat jarang berlaku.

    Menurut pangkalan data yang dikumpul oleh penyelidik AS, David Riedman, hanya sekitar 15 insiden seumpama itu direkodkan sejak tahun 1970an. – AFP

    Gambar AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda