THE HAGUE, 17 JULAI – Seorang guru ditikam dan cedera parah ketika cuba meleraikan pergaduhan dalam sebuah persembahan muzik oleh murid-murid sekolah rendah pada malam kelmarin, menurut kenyataan polis Belanda hari ini. Tiga suspek telah ditahan berhubung insiden itu.
Guru lelaki berusia 53 tahun itu ditikam ketika cuba campur tangan dalam satu pertengkaran antara tiga lelaki di sebuah pusat kebudayaan di Alblasserdam, kata polis.
Ramai saksi kejadian termasuk ibu bapa dan kanak-kanak telah ditawarkan khidmat kaunseling segera selepas kejadian.
Di Belanda, persembahan akhir tahun oleh pelajar sekolah rendah untuk ibu bapa merupakan satu tradisi menjelang cuti musim panas.
Seorang lelaki berusia 44 tahun ditahan berhampiran pusat kebudayaan itu tidak lama selepas insiden berlaku. Dua lagi lelaki kemudian datang ke sebuah hospital di Rotterdam berdekatan. Seorang daripada mereka yang mengalami kecederaan telah ditahan di hospital, manakala seorang lagi cuba melarikan diri namun berjaya diberkas. – AP
