APABILA kita berbicara tentang ilmu dan pendidikan bererti sekaligus kita meletakkan para guru dan pendidik sebagai golongan yang amat penting sebagai agen pembangunan dan perubahan minda ummah.
Tugas seorang pendidik bukanlah satu tugas yang mudah dan bukan boleh dilakukan oleh semua orang. Justeru itu, kerjaya sebagai seorang pendidik dianggap sebagai satu tugas yang sangat mulia dan istemewa. Lebih-lebih lagi dalam era yang penuh mencabar ini, menuntut pengorbanan dan komitmen yang padu dalam mendidik anak bangsa menjadi insan yang cemerlang, berwibawa dan sentiasa mendapat petunjuk serta keredhaan dari Allah SWT.
Kerana itu, kita seharusnya bersyukur di atas pengorbanan dan jasa guru yang telah mendidik serta membimbing kita menjadi manusia yang baik pada hari ini, baik guru yang terlibat secara langsung mendidik kita di sekolah mahupun di peringkat Universiti dan tidak kurang penting juga kepada guru yang mengajar kita mengenal membaca ayat-ayat Al-Quran, fardhu ‘ain dan sebagainya. Tanpa bimbingan dan tunjuk ajar dari mereka kita tidak mempunyai asas yang kuat untuk mengamalkan kefardhuan asas dalam Islam.
Justeru, sambutan hari guru yang disambut setiap tahun merupakan satu penghargaan dan pengiktirafan terhadap pengorbanan serta komitmen warga pendidik dalam mengembeling tenaga membentuk anak-anak bangsa menjadi manusia yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.
Pada hari ini kita semua tidak dapat menafikan bahawa perubahan terus berlaku, tanggungjawab dan peranan pendidik sememangnya mencabar berbanding era sebelumnya. Kesan globalisasi dan perkembangan ICT menuntut semua warga pendidik berusaha gigih bagi menghasilkan anak didik yang benar-benar berilmu, berakhlak mulia, mempunyai jati diri, dan mampu bersaing pada peringkat nasional mahupun global.
Ciri-ciri guru efektif
1.Menentukan objektif pengajaran dan pembelajaran
Ciri utama guru berkesan atau guru efektif ialah menentukan objektif pengajaran dan pembelajaran dengan jelas dan saksama berasaskan tahap pencapaian murid. Objektif perlu dimaklumkan dan diketahui oleh murid-murid sebelum pembelajaran bermula. Penetapan sedemikian membolehkan mereka menyedia dan mengubahsuai mind-set yang tepat terhadap pengetahuan, kemahiran dan perlakuan yang perlu dicapai apabila pembelajaran tamat. Guru boleh mengukur dan menilai tahap pencapaian murid berdasarkan hasil pembelajaran atau learning outcome. Kelainan perolehan dan pencapaian di dalam suatu pembelajaran adalah perkara biasa.
Walau bagaimanapun, jika terdapat perbezaan yang terlalu besar dalam pencapaian, guru perlu menyemak semula tentang kelemahan atau kesilapan dalam pengajarannya, untuk usaha penambahbaikan. Pendekatan ini akan memudahkan guru membuat susulan agar objektif pengajaran dan pembelajaran dicapai pada tahap maksimum. Penentuan objektif amat mustahak dalam pengajaran dan pembelajaran, ibarat kapal belayar perlu menentukan hala tuju agar sampai ke destinasi mengikut jadual.
Seseorang guru tidak akan mencapai tahap efektif sekiranya tidak menentukan objektif pengajaran dan pembelajaran, umpama perjalanan tanpa tujuan akan mundar mandir, terhoyong hayang dan ke hulu ke hilir, hingga akhirnya kecundang sendirian.
2.Menyediakan rancangan mengajar
Guru mesti membuat perancangan pelajaran sebelum memulakan pengajaran dan pembelajaran, termasuklah guru berpengalaman, guru cemerlang dan guru pakar. Persediaan mengajar oleh guru akan melibatkan masa yang berbeza mengikut pencapaian murid, kelas, bahan dan kearifan individu guru. Objektif dan isi pelajaran disusun mengikut keutamaan atau kefahaman murid, seperti bermula daripada aspek yang mudah kepada yang lebih sukar, aspek yang berada dalam pengetahuan atau pengalaman murid kepada perkara yang belum berada dalam pengetahuan dan pengalaman mereka.
Setiap perkembangan pelajaran diikuti pula oleh aktiviti murid secara terancang dan sebahagainnya spontan. Pendekatan berasaskan spiral curriculum membolehkan murid mengembangkan ilmu sedia ada dan memantapkan pengalaman tersedia. Mereka akan mengikuti pengajaran peringkat demi peringkat, langkah demi langkah, fakta demi fakta, yang keseluruhannya secara sistematik dan efektif.
Guru menerajui haluan perkembangan pengajaran dengan murid-murid mengayuh bersama menuju ke destinasi yang diketahui bersama. Usaha dan kebersamaan sedemikian boleh mempercepatkan perolehan kandungan pembelajaran dan seterusnya peningkatan pencapaian. Penerangan disampaikan secara susunan tanpa memasukkan terlampau banyak isi pelajaran dalam sesuatu masa berasaskan pendekatan teach sequentially and globally.
3.Pengetahuan, kemahiran dan kecekapan
Seseorang guru efektif semestinya mempunyai kecekapan yang mendalam dalam bidang atau subjek yang diajar. Guru perlu mempunyai pengetahuan, kemahiran dan pengalaman yang komprehensif terhadap bidangnya.
Guru seharusnya sentiasa meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam subjek diajar agar sentiasa kemaskini, menarik, bertenaga dan inspirasional. Ada kalanya murid bertanya perkara melebihi sukatan pelajaran atau kurikulum yang tertera dalam buku teks. Sekiranya guru berkebolehan menjawab dengan tepat bersama fakta dan bukti kukuh, pasti akan menimbulkan minat, keyakinan dan kecenderungan murid untuk mengikuti lanjutan epistemologi disiplin tersebut.
Lebih menarik dan efektif sekiranya guru dapat menghidupkan ilmu berkenaan dan mengaitkan dalam kehidupan murid. Murid akan melihat dan menilai ilmu yang dipelajari adalah berguna untuk dirinya pada masa ini dan akan datang. Demikian sebaliknya, jika guru gagal untuk menjawab pertanyaan murid atau sentiasa menangguhkan jawapan, menyebabkan murid kurang berkeyakinan kepada guru tersebut dan hilang minat.
Lebih-lebih lagi jika guru sentiasa menghalang murid-murid daripada bertanya perkara yang di luar kurikulum, sedangkan berminat untuk mengetahui, berkemungkinan mereka kehilangan kecenderungan untuk bertanya dan hilang minat untuk mempelajari subjek yang diajar oleh guru berkenaan. Jika halangan dan gangguan terhadap perkembangan murid-murid berlanjutan, situasi ini akan mengakibatkan perencatan dan pembunuhan minat mereka untuk belajar.
4.Kepelbagaian kaedah mengajar
Pembelajaran akan berjalan dengan lancar, menarik dan berkesan sekiranya guru menggunakan pelbagai kaedah yang bersesuaian dengan isi pelajaran dan kemahiran yang akan dicapai oleh murid. Guru perlu employ a wide variety of methods untuk menyampaikan kandungan pelajaran berbentuk teori dan amali.
Guru perlu sentiasa mengubahsuai strategi mengikut jangkaan keberkesanan penggunaan sesuatu kaedah. Guru yang berhasrat untuk menjadikan pengajarannya efektif, seharusnya membuat kajian atau penyelidikan mengenai kaedah yang paling sesuai untuk sesuatu isi pelajaran, topik atau kemahiran.
Kajian saintifik perlu dibuat untuk menilai kekuatan dan kelemahan kaedah yang digunakan. Guru perlu berkemahiran dalam membuat kajian tindakan atau pemerhatian saintifik.
Kajian menunjukkan bahawa kaedah yang digunakan amat berperanan penting sebagai sumber kefahaman, minat dan komitmen murid dalam pengajaran dan pembelajaran. Murid lebih tertarik kepada kaedah yang kemaskini dan menggunakan peralatan elektronik seperti komputer, Internet, power point dan video.
Walau bagaimanapun, guru yang bijak menggunakan gaya tingkahlaku dan intonasi suara, bercerita, memek muka humor, akan tetap menarik minat pembelajaran dan murid mengikuti pengajaran secara efektif.
5.Keceriaan, interaksi dan penglibatan murid
Guru efektif sentiasa berfikir dan merancang aktiviti penglibatan murid-murid dalam pengajaran. Kemahiran berkomunikasi dan interaksi kependidikan pelbagai hala guru-murid, murid-murid dan murid-guru menjadi teras keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Murid akan merasa pendapat dan kehadirannya diperlukan serta dihargai.
Murid-murid perlu mengenali di antara satu sama lain, saling berinterkasi dan menggunakan panggilan baik-baik serta digemari yang membuktikan saling communicate with interest and enthusiasm.
Semasa menyampaikan pengajaran guru seharusnya mempunyai pemikiran positif dan bersangka-suka terhadap murid agar ilmu yang disampaikan diterima dengan hati terbuka, ikhlas, telus, tulus, berminda ceria dan humur. Memandang terus dan telus terhadap individu murid dan melihatnya dengan penuh empati serta use intrinsic and extrinsic rewards more often than penalties.
Situasi sedemikian akan dapat menimbulkan interaksi positif dan konstruktif yang menghasilkan keberkatan ilmu yang disampaikan demi manfaat jangka pendek dan jangka panjang murid dan guru. Masyarakat dan negara akan memperolehi manfaat seterusnya.
6.Motivasi, minat dan mencungkil sikap ingin tahu
Murid-murid boleh digalakkan untuk mengemukakan soalan, pendapat dan menunjukcara perlakuan. Penglibatan murid-murid secara aktif akan menimbulkan minat yang tinggi dan berazam untuk terus berada dalam pembelajaran. Guru perlu mencari faktor-faktor yang boleh menimbulkan minat dalam pengajaran. Ada kalanya faktor ini berbeza-beza di antara satu kumpulan atau kelas murid. Apabila guru berjaya mencetuskan minat murid-murid, mereka bukan saja akan terlibat secara aktif, bahkan sentiasa mengunggu-nunggu kedatangan guru berkenaan. Ramai penyelidik psikologi mendapati bahawa minat atau kecenderungan merupakan faktor utama penglibatan serius murid dalam sesuatu pembelajaran.
7.Kejelasan penyampaian dan penghuraian isi pelajaran
Ramai penonton terpesona dengan persembahan dan jalan cerita yang menarik serta mudah difahami. Mereka sanggup menunggu beberapa jam sehingga cerita tamat walaupun bahasa yang dituturkan tidak difahami sepenuhnya. Justeru, penyampaian guru yang jelas dan mudah difahami oleh murid akan menjadikan mereka lebih beminat dan mengikuti pembelajaran sehingga tamat.
Kepelbagaian dalam gaya penyampaian dan bahasa yang mudah difahami serta formula yang tahu aplikasi akan menjadikan pembelajaran murid bertambah komited dan efektif. Guru seharusnya mengetahui taraf kebolehan bahasa murid, pencapaian pengetahuan dan kefahaman aplikasi sesuatu teori atau formula.
Imam Al-Ghazali mengingatkan agar guru menggunakan bahasa yang mudah, penerangan yang jelas dan perbincangan isi pelajaran yang di dalam pengetahuan dan kemahiran murid yang diajar. Guru perlu mengelakkan daripada menggunakan bahasa dan penerangan yang berliku-liku, berbelit-belit, perkataan sukar, dan bombastik.
Ini bererti penyampaian berbeza di antara murid sekolah rendah dengan sekolah menengah, murid pintar dengan sederhana dan murid normal dengan pendidikan khas. Kepelbagaian gaya bahasa dan penerangan yang jelas akan memudahkan murid menerima dan memahami isi pelajaran yang disampaikan oleh guru seterusnya dapat meningkatkan prestasi pembelajaran.
Guru seharusnya berkebolehan dalam menerangkan secara jelas mengenai sesuatu konsep abstrak dan konkrit iaitu explain and illustrate concepts both abstractly and concretely. Perkara abstrak boleh dikaitkan dengan pengetahuan dan pengalaman murid atau sesuatu yang mempunyai persamaan dengan membuat andaian.
Guru boleh juga melakarkan dalam bentuk tulisan, gambar rajah atau carta. Penerangan konsep konkrit perlu diikuti oleh perbuatan atau tindakan murid demi mengukuhkan konsep yang konkrit dengan objek sebenar.
8.Ujian dan penilaian
Guru seharusnya berkemahiran mengemukakan pelbagai jenis soalan dengan tujuan tertentu berasaskan konsep penyoalan.
Di antara tujuan penyoalan ialah mendapatkan maklumat, menguji kefahaman, menimbulkan kepekaan, menarik perhatian, membayangkan jawapan dan mengukuhkan pemahaman. Soalan-soalan berbentuk provokatif atau thought-provoking boleh mendatangkan rangsangan dan motivasi untuk pelajar berfikir secara konstruktif dan inovatif.
Soalan dibina dalam bentuk ayat mudah, berstruktur atau terbuka. Persoalan boleh diajukan berdasarkan pendekatan konsep Taksonomi Bloom iaitu pengetahuan, kefahaman, aplikasi, analisis, sentisis, penilaian dan apresiasi. – Agensi