Sunday, March 9, 2025
31 C
Brunei

    Berita Terkini

    Guru-guru sertai Majlis Membaca Al-Quran secara Murattal

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MAC- Majlis Membaca Ayat-ayat Suci Al-Quran Secara Murattal anjuran Jawatankuasa Pemimpin Sekolah-sekolah Ugama (JKPPSU) Kawasan Brunei III telah diadakan dengan penyertaan para guru dari sekolah-sekolah ugama kawasan Brunei III bertempat di Dewan Sekolah Ugama Beribi, Gadong kelmarin.

    Majlis yang bertujuan untuk meraih keberkatan bulan Ramadan dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah diketuai oleh tetamu khas majlis iaitu Pegawai Pengajian Islam Daerah bagi Kawasan Brunei III, Bahagian Sekolah Ugama, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Mohd Fauzi bin Haji Zaini.

    Majlis juga mendengarkan tazkirah bertajuk, Kaitan Al-Quran dengan Ramadan yang disampaikan oleh tenaga pengajar Sekolah Ugama Pengiran Pekerma Setia Diraja Sahibul Bandar, Kampung Perpindahan Mata-Mata Gadong, Awang Mohd Ijlal Hatim bin Haji Mohd Yunos.

    Majlis kemudian diteruskan dengan bacaan Surah Al-Waqiah dan Surah Al-Mulk dan disusuli bacaan Tahlil dan Doa Arwah. Seterusnya acara penyampaian derma khairat khusus bagi guru-guru dan ahli keluarga yang telah kembali ke Rahmatullah dan diakhiri dengan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

    Majlis Membaca Ayat-Ayat Suci Al-Quran Secara Murattal merupakan aktiviti tahunan yang juga bertujuan untuk mengimarah bulan Ramadan dengan amalan-amalan ibadah dan berkebajikan, di samping mengeratkan lagi silaturahim dalam kalangan guru-guru ugama.

      Antara suasana semasa majlis berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN JPI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda