Saturday, September 21, 2024
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Guru ibarat cahaya terangi kegelapan

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Sept – Guru ibarat cahaya yang menerangi kegelapan sekali gus memberi petunjuk dan panduan dalam memahami apa juga ilmu yang dipelajari.

    Tugas sebagai guru atau pendidik, bukanlah satu tugas yang boleh dilakukan oleh semua orang, kerana orang yang berkemahiran dan berkebolehan sahaja yang mampu berbuat demikian.

    Dengan sikap yang tidak mengenal lelah atau patah semangat, mereka berkorban seluruh jiwa dan raga, masa, wang dan tenaga, berusaha dan berjuang memberikan yang terbaik kepada anak-anak didik mereka.

    Khatib menjelaskan perkara tersebut semasa menyampaikan khutbah Jumaat bertajuk Guru Berkualiti Pemacu Transformasi Pendidikan.

    Menurutnya, ilmu pengetahuan sangat penting dalam kehidupan manusia, ia merupakan kunci kepada kebahagiaan, kerana dengan ilmu pengetahuan akan dapat membantu kita berjaya di dunia dan juga berjaya di akhirat.

    “Islam mendidik supaya menuntut ilmu sebaik mungkin meliputi fardu ain seperti ilmu akidah, syariat dan akhlak serta ilmu fardu kifayah yang mencukupi pelbagai bidang seperti teknologi, kemahiran, perubatan dan sebagainya.

    GAMBAR FAIL OLEH MUIZ MATDANI

    “Dalam mencari ilmu, kita perlu mencari pembimbing atau guru dan di sinilah peranan dan tugas guru untuk menyampaikan dan mengajar ilmu kepada anak didiknya,” tekannya.

    Tugas guru itu, katanya, adalah menyeluruh dalam proses pembentukan diri seorang manusia yang menyediakan landasan atau asas yang kukuh sehingga anak didik dapat mencapai kejayaan, bukan sahaja dari segi pencapaian akademik, malah mampu membentuk insan yang mempunyai akhlak yang baik dan keperibadian mulia.

    “Dalam Islam kedudukan guru dipandang tinggi dan mulia sesuai dengan ketinggian ilmu,” jelasnya.

    Melihat kepada betapa besar jasa seorang guru kepada masyarakat, bangsa dan negara, sudah wajar mereka dihormati, dikasihi dan dihargai, malah Islam menjanjikan ganjaran yang besar daripada Allah.

    Tarikh 23 September adalah tarikh yang dipilih bagi mengiktiraf sumbangan dan jasa guru-guru di Negara Brunei Darussalam dengan tema Hari Guru tahun ini Guru Berkualiti Pemacu Transformasi Pendidikan berserta sub tema iaitu Pendidikan Untuk Dunia yang Terus Berubah.

    Khatib menambah, guru merupakan pemacu perubahan yang sentiasa memberi inspirasi kepada pelajar untuk mencapai potensi penuh dan guru bukan sahaja sebagai pendidik tetapi juga mentor yang memupuk rasa ingin tahun, kreativiti dan juga pencetus semangat pelajar untuk pembelajaran sepanjang hayat.

    Dengan mengadaptasi kaedah pengajaran yang inovatif dan memanfaatkan teknologi, jelasnya, guru akan sentiasa terus kreatif dalam pengajaran dengan menjadikan ianya lebih menarik dan relevan dengan cabaran abad ke-21.

    Khatib seterusnya menjelaskan, dalam dunia digital yang pesat berubah, kemahiran dan literasi digital serta penilaian kritikal adalah diperlukan untuk pelajar dan di sini guru berperanan penting dalam proses ini.

    Mereka bukan sahaja menyampaikan kandungan pembelajaran serta penilaian dengan bijaksana, tetapi juga mengajar anak didik bagaimana menilai sumber maklumat yang diterima secara kritikal dan menggalakkan penggunaan teknologi secara bertanggungjawab.

    Dalam mendidik anak bangsa, tegasnya, selaku ibu bapa dan masyarakat juga mempunyai peranan untuk berganding bahu dan bekerjasama dengan guru-guru dalam membentuk anak-anak menjadi insan yang cemerlang dan berkualiti pada masa hadapan.

    Ke arah itu, Khatib seterusnya menyeru untuk sama-sama menghargai dedikasi para guru

    dan menyokong usaha mereka untuk memperkasa generasi seterusnya sebagai warga global yang sentiasa siap sedia memberikan sumbangan positif kepada dunia yang sentiasa berubah dalam mencapai Wawasan Negara 2035.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda