Guru tidak hanya bertanggungjawab untuk memberikan pendidikan yang berkualiti kepada pelajar, tetapi sering kali dibebani dengan tugas-tugas pentadbiran yang sepatutnya diuruskan oleh kakitangan pentadbiran.
Selain daripada menguruskan kelas dan mengajar pelajaran, guru juga perlu menangani urusan pentadbiran sekolah seperti pendaftaran pelajar, jadual pengajaran, menguruskan disiplin dan urusan harian lain. Beban kerja yang bertambah ini tidak hanya mengambil masa dan tenaga mereka, tetapi juga memberikan tekanan yang tidak diingini.
Apabila guru terlibat dalam pekerjaan pentadbiran sekolah, mereka sering kali terpaksa mengorbankan masa yang sepatutnya digunakan untuk merancang dan menyediakan bahan pengajaran yang berkualiti bagi memberikan tumpuan kepada pengajaran dan pembelajaran.
Bagaimanapun, penting untuk memastikan bahawa beban kerja yang ditanggung oleh guru tidak melebihi batas kebolehan mereka.
Di sini, saya ingin mencadangkan agar pihak berkuasa dapat mengambil pekerja sambilan atau kontrak untuk bahagian pentadbiran di sekolah. Ini termasuk mengambil kakitangan baharu untuk bahagian pentadbiran.
Dengan tindakan tersebut, guru dapat memberikan tumpuan kepada tugas-tugas pengajaran mereka dengan lebih efisien sekali gus dapat mengurangkan pengangguran di negara kita terutama sekali bagi lepasan graduan.
Secara kesimpulannya, adalah penting bagi pihak berkuasa agar tindakan yang sewajarnya dilaksanakan bagi mengasingkan peranan guru dan pentadbiran sekolah.
Dengan melakukan ini, kita dapat membantu memastikan bahawa guru tidak terbeban lagi dan dapat memberikan fokus kepada pengajaran dan pembelajaran, yang merupakan aspek terpenting dalam pendidikan.
Marwan









