Thursday, November 28, 2024
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Guru lelaki ditahan disyaki edar ganja

    KUALA LUMPUR, 28 NOV – Seorang guru lelaki ditahan selepas disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah jenis ganja di sekitar Damansara Damai, Petaling Jaya, Kuala Lumpur.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Shahrulnizam Ja’afar berkata suspek yang berusia 40 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pada jam 6:45 petang baru-baru ini.

    Beliau berkata hasil pemeriksaan menjumpai dadah disyaki ganja yang dianggarkan seberat 0.21 kilogram dengan nilai rampasan sebanyak RM6,300.

    “Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis ganja. Suspek merupakan seorang guru di sebuah sekolah di Petaling Jaya dan tidak mempunyai sebarang rekod lampau.

    “Mahkamah Majistret Petaling Jaya telah membenarkan tahanan reman ke atas suspek mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bermula hari ini hingga 1 Disember,” menurutnya dalam kenyataan kelmarin.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

    Shahrulnizam turut menasihati orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan penyalahgunaan dadah agar menyalurkannya ke mana-mana balai berdekatan. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda